Inisiatif

Peristiwa
22/8/23
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Infrasel teruskan kerja baik pulih jalan di Sepang, Kuala Langat



SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerja baik pulih jalan besar-besaran di bawah Projek Turapan Mega yang giat dilaksana di seluruh negeri sejak Mei lalu diteruskan di daerah Sepang.

Syarikat penyelenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) memaklumkan kerja penurapan semula dilaksanakan di Jalan Marmu mulai Sabtu lalu.

“Kerja baik pulih dan menurap semula jalan sempena #TurapanMegaSelangor2023 sedang dilaksanakan di Jalan Marmu, Sepang dengan perletakan ‘crusher run’ (campuran batuan, pasir dan debu) sedang dilaksanakan. Keselesaan buat semua,” tulisnya di laman sosial X.

Tambah Infrasel, kerja permulaan (kick-off) turapan dan pembaikan jalan turut dibuat di Jalan Punggok, Jenjarom dan Jalan Kemandul Utama, Kuala Langat pada 17 Ogos dengan memberi taklimat kerja dan keselamatan kepada pekerja.


Pada 21 Julai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pentadbiran negeri menerusi Infrasel berjaya menyelesaikan lebih 80 peratus masalah jalan raya di Selangor.

Menurut Amirudin syarikat penyelenggara itu dianggarkan menerima antara 600 hingga 700 laporan jalan rosak setiap bulan, sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata hampir 40 peratus kerja turapan jalan menerusi projek mega yang dilaksana sejak Mei lalu selesai mengikut jadual dan dijangka siap selewat-lewatnya bulan depan.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9km, bermula bulan lalu.

Beliau berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta bawah daerah, yang dijangka siap hujung bulan ini.

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.