Selangor Kini: Iltizam Selangor Sihat
SHAH ALAM, 11 JAN: Program perlindungan kesihatan rakyat yang dilaksanakan menerusi Iltizam Selangor Sihat (ISS) akan terus ditambah baik tahun ini, kata EXCO kesihatan awam.
Jamaliah Jamaluddin berkata penambahbaikan itu termasuk setiap pemegang polisi akan menerima manfaat sehingga RM10,000 setahun untuk mendapatkan rawatan di panel hospital terpilih.
Beliau menjelaskan manfaat tersebut untuk pemegang polisi berumur 80 tahun ke bawah mengikut dua tatacara, iaitu membenarkan penggunaannya untuk kes kecemasan di hospital kerajaan.
“Kedua, jika kes biasa kita benarkan penggunaan manfaat dengan rujukan doktor dari klinik Selcare.
“Pendaftaran dibuat di bahagian Klinik Telemedicine SelCare melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan rujukan doktor klinik kerajaan serta swasta,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Jamaliah menambah program saringan kesihatan percuma Selangor Saring, yang dianjurkan pentadbiran negeri juga akan ditambah baik untuk manfaat rakyat negeri ini.
Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS yang membantu pemegang polisi mendapat rawatan segera di klinik swasta.
Setiap pemegang polisi layak mendapat rawatan asas dan suntikan RM500 setahun bagi kategori keluarga, manakala individu RM250 setahun di mana-mana klinik panel seluruh negeri.