Selangor Kini: Hijrah tawar usahawan perniagaan bermusim dengan pembiayaan sehingga RM20,000

SHAH ALAM, 24 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan pinjaman modal sehingga RM20,000 kepada usahawan di negeri ini menerusi Skim i-Bermusim.
Agensi itu memaklumkan skim berkenaan terbuka kepada usahawan yang menjalankan perniagaan pada musim perayaan dan buah-buahan.
“Hijrah Selangor menerusi pembiayaan Skim i-Bermusim menawarkan modal perniagaan sehingga RM20,000 bagi membantu usahawan kecil dan sederhana mendapatkan modal pusingan perniagaan dengan syarat kelayakan dan dokumen permohonan yang mudah,” katanya menerusi Facebook.
Skim berkenaan boleh dimohon menerusi http://mikrokredit.selangor.gov.my atau hubungi pegawai pembiayaan di 19 cawangan Hijrah.
Berikut antara syarat kelayakan pemohon:
Warganegara Malaysia
Penduduk atau pemastautin Selangor
Mengundi di Selangor
Berumur 18 hingga 65 tahun
Perniagaan sudah beroperasi
Mempunyai premis perniagaan yang khusus
Salinan lesen/permit perniagaan yang sah
Tidak mempunyai rekod pembiayaan yang tidak baik daripada mana-mana institusi kewangan atau agensi kerajaan
Terlibat secara langsung dalam perniagaan
Satu pembiayaan sahaja dalam satu-satu perniagaan perkongsian
Setakat Januari hingga September tahun lalu, 5,795 usahawan menerima manfaat dari tujuh skim pembiayaan perniagaan bernilai RM92.37 juta yang ditawarkan Hijrah.
Selain i-Bermusim, Hijrah turut menawarkan skim i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari dan i-Agro.