Media

Peristiwa
12/4/22
Isu
Selangor
Negara

Selangor Kini: HARAPAN komited perkenal enakmen antilompat parti di peringkat negeri

SHAH ALAM, 11 APRIL: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyatakan komitmennya untuk memperkenalkan enakmen antilompat parti di peringkat negeri sekiranya rang undang-undang (RUU) itu lulus di Parlimen.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata tindakan itu bagi membuktikan sokongan penuh gabungan berkenaan terhadap RUU terbabit.

“Kita akan usahakan supaya negeri bawah HARAPAN segera meluluskan enakmen ini peringkat negeri. Pulau Pinang sudah luluskan.

“Bagi Selangor dan Negeri Sembilan atau negeri lain yang ada wakil rakyat (HARAPAN), komitmen kami untuk rakyat adalah kita akan berusaha mewujudkan undang-undang di peringkat negeri sejurus ia lulus di Parlimen,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula mencadangkan satu jawatankuasa pilihan khas dirujuk bagi memperhalusi segala bentuk pindaan sekali gus dapat menggubal RUU dengan baik.

Beliau turut menyarankan jawatankuasa terbabit diberikan tempoh sebulan bagi meneliti lebih lanjut segala aspek diperlu sebelum RUU itu dibentangkan.

“DAP cadangkan Puchong (Gobind Singh Deo) duduk dalam jawatankuasa itu bagi memperhalusi pindaan sebelum RUU Antilompat Parti digubal. Ia perlu direalisasikan dalam masa terdekat kerana rakyat mahu lihat (pindaan),” katanya.

Sementara itu Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu berkata apabila RUU itu diluluskan, tampuk pentadbiran negara hanya berubah menerusi pilihan raya umum (PRU) atau mengikut perkara yang dibenarkan dalam Perlembagaan.

“Kalau amalan lompat parti berterusan, berapa kali kerajaan nak bertukar. Kita marah apabila kerajaan berubah tetapi gembira jika ambil (ahli politik) dengan cara lompat parti,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.