Media

Peristiwa
16/10/23
Selangor

Selangor Kini: EXCO: Selangor negeri contoh perkasa hak kanak-kanak





PETALING JAYA, 14 OKT: Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 yang diperkenal pentadbiran ini meletakkan Selangor sebagai negeri contoh dalam pemerkasaan hak golongan itu.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah menjelaskan tonggak dan langkah yang disusun dalam dasar itu praktikal selain bertepatan dengan situasi terkini.

“Kita memiliki panduan jelas dan sistematik untuk kanak-kanak. Jika semua cabaran berhubung isu kanak-kanak dapat diselesaikan, hasil positif melalui dasar ini boleh dilihat dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.

“Semua pihak perlu beri kerjasama untuk memastikan matlamat digariskan dapat dicapai seterusnya membawa perubahan positif terhadap komuniti disasarkan,” katanya berucap pada majlis penganugerahan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak di Hotel Royale Chulan Damansara di sini semalam.

Pada 17 Mac, Dewan Negeri Selangor meluluskan usul Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 yang memfokuskan 10 tonggak utama.

Tonggak itu meliputi persediaan keibubapaan dan pra kelahiran, pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, pendidikan (peringkat rendah dan menengah), kesihatan, kesejahteraan keluarga serta perkembangan sosial dan komunikasi.

Selain itu, teknologi dalam perkembangan kanak-kanak, infrastruktur dan keselamatan, tahap sosioekonomi keluarga serta penglibatan pemegang taruh.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata sebagai negeri maju, pemerkasaan hak golongan terbabit menjadi agenda utama dalam mengolah polisi negeri.

Mengambil contoh Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), beliau memaklumkan agensi ditubuh sejak 2009 itu menyediakan pelbagai inisiatif untuk pengurusan kebajikan anak Selangor dari peringkat bayi hingga belia.

“Ia termasuk Tabung Warisan Anak Selangor, Inisiatif perkahwinan Belia, Skim Bantuan Asuh Anakku Pintar, Anak Istimewa Selangor, Insentif Generasi Muda Selangor dan Skim Bantuan Tabika Selangor,” katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.