Inisiatif

Peristiwa
30/5/24
Selangor

Selangor Kini: Cungkil pelapis, cadang program ADN muda diterus tahun depan

SHAH ALAM, 29 MEI: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) memuji potensi diserlahkan peserta program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2024.

Lau Weng San berkata selain menunjukkan perbahasan berkualiti, peserta turut memiliki pengetahuan luas berkaitan isu semasa serta dasar dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Rata-rata kualiti perbahasan peserta sangat tinggi selain bijak bawa isu yang ada di Dewan Undangan Negeri diwakili. Malah mereka juga ada pengetahuan mendalam berkaitan dasar dan program negeri.

“Kita bercadang meneruskan program ini pada tahun depan bagi mencungkil lebih ramai pemimpin pelapis,” katanya ketika sidang media ADN Muda Selangor 2024 di Bangunan Wisma DNS hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga bercadang memperluaskan program ADN muda di peringkat sekolah menengah.

“Mungkin kita boleh jalin kerjasama dengan jabatan pendidikan negeri untuk mengadakan program ADN Muda Junior.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah merasai pengalaman terlibat dalam perbahasan sidang DNS,” jelasnya.

Program ADN Muda Selangor 2024 berlangsung selama dua hari sejak semalam turut mendapat kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor.

Ia ditawarkan kepada pelajar serta belia berusia dari 18 hingga 35 tahun dan kelebihan menganggotai pertubuhan bukan kerajaan, penggerak belia tempatan serta mana-mana persatuan.

Penganjuran program ADN Muda Selangor yang dilaksana sejak 2013 merupakan program khas bawah DNS bagi melahirkan belia berfikiran kritis khususnya berkaitan polisi Kerajaan Negeri.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.