Selangor Kini: Bayi lahir tahun ini bakal terima manfaat tabungan pendidikan RM500
SHAH ALAM, 30 JAN: Bayi yang lahir di Selangor tahun ini bakal menerima tabungan RM100 setahun sehingga mereka berusia lima tahun menerusi inisiatif Iltizam Anak Selangor (ANAS).
Dato’ Menteri Besar berkata setiap peserta bakal menerima akaun skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kelak.
“Kita tukar program ini daripada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kepada Anas ataupun Iltizam Anak Selangor.
“Bermula tahun ini siapa yang melahirkan anak di Selangor, lima tahun pertama akan mendapat sumbangan RM100 daripada Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Facebook hari ini.
Beliau turut berharap ibu bapa menambah tabungan berkenaan setiap tahun sekali gus membudayakan amalan menabung demi masa depan pendidikan anak-anak mereka.
“Kita percaya ibu bapa juga boleh menyimpan atau mencarum kepada anak-anak ini dan kerajaan persekutuan ada peruntukan.
“Jika menyimpan RM1,000 untuk anak, kerajaan persekutuan akan tambah lagi RM1,000 menjadikan RM2,000 untuk anak-anak menjelang pendidikan mereka pada umur 18 tahun,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM3 juta bagi menjayakan ANAS dengan menyasarkan seramai 30,000 bayi menerima manfaat.
Permohonan Anas yang dibuka sejak 1 Ogos tahun lalu boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang anas.yawas.com.my dengan syarat bayi lahir di Selangor bermula 2022 dan menetap di negeri ini selain merupakan warganegara.
Manakala ibu bapa juga mesti dalam kalangan warga tempatan yang tinggal serta pengundi berdaftar di Selangor serta berumur 18 tahun ke atas.