Selangor Kini: Bantuan pendidikan negeri dorong pelajar terus berjaya - MB
GOMBAK, 6 NOV: Bantuan pendidikan negeri yang disediakan setiap tahun menjadi pemangkin serta pendorong kepada pelajar untuk terus menggapai kejayaan, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Mengambil contoh Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Bantuan Asas Yuran Universiti (Bayu), Dato’ Menteri Besar berkata ia memberi sokongan tambahan dalam menjamin kecemerlangan pelajar.
Terbaharu, jelasnya, Jelajah Tekad Pendidikan #KitaSelangor yang diadakan di dua daerah bermula hari ini mendedahkan pelajar dengan falsafah insaniah, transformasi dan aspirasi realistik.
“Kerajaan Negeri sedaya upaya melaksanakan pelbagai program pendidikan. Kita sediakan pelbagai bantuan seperti PTRS, bantuan sekolah dan masuk universiti.
“Hari ini kita adakan lagi program untuk perkasakan sektor pendidikan. Secara asasnya, ada beberapa landasan lain bakal diperkenal demi memastikan pendidikan kita menyeluruh,” katanya.
Jelajah Tekad Pendidikan yang menekankan unsur spiritual dan keagamaan bermula di Gombak dan akan diteruskan ke Kuala Selangor pada 12 Disember, melibatkan lebih 1,000 pelajar dan ibu bapa.
Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 pada 10 November, Amirudin mengumumkan peruntukan hampir RM100 juta bagi pembangunan pendidikan dan bantuan persediaan pelajar.
Ia termasuk RM9 juta untuk Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor merangkumi peduli siswa, program khas dan pinjaman bolah ubah selain RM5 juta (Bayu) dan RM3 juta bagi Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi Selangor.