Selangor Kini: Ahli Serve Rescue dilatih kemahiran menyelamat, sedia bantu mangsa bencana
SHAH ALAM, 17 OKT: Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue menjadi antara kumpulan pertama membantu mangsa bencana sementara menunggu kedatangan pihak berkuasa, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan terdiri 37 individu itu menjalani latihan lima hari bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi melengkapkan diri dengan kemahiran asas menyelamat.
“Kumpulan pertama ini dilatih dengan beberapa kemahiran antaranya kaedah menyelamat dalam air, cara berdepan suasana mencabar dan pengendalian bot. Bagaimanapun ketika situasi sebenar nanti kita perlu tunggu arahan pihak berkuasa.
“Latihan tidak hanya berhenti setakat ini sebaliknya kita rancang dengan bomba untuk jangka panjang sama ada secara bulanan atau berkala. Ini bertujuan meningkatkan kemahiran ahli,” katanya pada majlis penutup latihan dan kursus Serve Rescue di sini, hari ini.
Amirudin berkata latihan berkumpulan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya lebih ramai individu di negeri ini mempunyai kemahiran menyelamat.
“Pasukan beruniform dan berkuasa juga memerlukan bantuan sumber daya manusia yang berkemahiran ketika berdepan bencana. Pasukan ini berkemampuan serta bersiap sedia membantu mangsa bencana.
“Kadang-kadang ada bantuan yang membebankan pasukan beruniform kerana tidak dilatih dan tidak mahir. Jadi kita tak mahu perkara itu berlaku,” katanya.
Serve Rescue yang sebelum ini dikenali sebagai Serve Elit menjalani latihan asas termasuk bersama Pasukan Penyelamat Dalam Air bagi mengendalikan mangsa banjir. Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100,000 bagi penubuhan pasukan berkenaan.