Selangor Kini: 549 skim rumah kos rendah peroleh strata antara tumpuan Belanjawan 2025
SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak 549 skim perumahan kos rendah masih belum mendapat status pemilikan strata meskipun sudah didiami sejak puluhan tahun lalu.
Berikutan itu, EXCO perumahan berkata menerusi Belanjawan 2025, kediaman berkenaan akan menjadi tumpuan bagi membolehkan pemiliknya memiliki geran sekali gus menjaga nilai hartanah mereka.
“Memang banyak perumahan strata yang belum dapat hak milikan terutama pembangunan pada era 1990-an. Jumlah ini melibatkan kategori kos rendah sahaja dan kita jangka lebih banyak lagi pangsapuri mengalami masalah sama.
“Kita kenal pasti isu ini banyak berlaku di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang. Jadi menerusi belanjawan tahun depan kita akan bantu selesaikan masalah yang berlarutan sejak 20, 30 tahun ini,” kata Borhan Aman Shah.
Beliau berkata satu pasukan khas melibatkan Lembaga Perumahan Hertanah Selangor (LPHS), pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan galian serta jabatan ukur dan pemetaan ditubuhkan untuk meneliti perkara berkenaan.
“Kita lihat semua aspek dan elemen penting sebelum ia dibentangkan kepada pihak pentadbiran. Kita harap perkara ini akan dibentang dalam belanjawan,” katanya.
Semalam Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran akan memberi fokus terhadap perkara itu memandangkan masalah terbabit sudah membelenggu pemilik sejak 40 tahun lalu.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, tindakan berkenaan bukan hanya menjamin hak pemilikan dan aset sahaja sebaliknya memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat.