Selangor Kini: 5,000 baucar Rahmah RM5 diagih kepada pengunjung bazar Ramadan terpilih
SUBANG JAYA, 5 APRIL: Sebanyak 5,000 kupon Platform Selangor (PLATS) Rahmah bernilai RM5 diagih kepada pengunjung di lima bazar Ramadan terpilih.
Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata agihan bermula hari ini di bazar Ramadan Seksyen 7, Shah Alam membabitkan 1,000 baucar bagi meringankan beban penduduk.
“Empat lagi bazar terlibat ialah bazar Ramadan USJ 4, Damansara Damai, Cyberjaya Park dan bazar Jalan Besar Taman Selayang Utama yang akan dibuat secara berperingkat.
“Kupon ini boleh ditebus di mana-mana gerai di bazar terbabit pada hari agihan. Selain di bazar, baucar sama turut diagih kepada komuniti setempat berhampiran bazar,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Terdahulu beliau menghadiri program Infak Bubur Lambuk Ara Damansara Medical Centre di Seksyen U2 di sini hari ini.
Kerajaan Selangor menggalakkan peniaga makanan di negeri ini menyertai inisiatif Menu Rahmah berharga RM5 selepas diperkenalkan kerajaan persekutuan.
Langkah berkenaan membuka peluang kepada mereka yang kurang mampu mendapatkan makanan pada harga berpatutan.