Selamat Tahun Baru 2024
Alhamdulillah, tahun 2023 telah menemukan kita dengan pelbagai peristiwa dan pencapaian yang membanggakan negeri Selangor serta kehidupan penduduknya. Antaranya, Selangor telah merekod kutipan hasil RM2.7 bilion setakat 31 Disember 2023 iaitu melebihi dari sasaran yang ditetapkan. Ini semestinya kejayaan bersama yang disumbangkan oleh semua. Syabas semua!
Ekonomi negeri juga turut berkembang baik melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang meliputi beberapa projek seperti SABDA, IDRISS, SMG, pelabuhan Pulau Carey dan pelbagai lagi.
Tidak ketinggalan, hal ehwal kebajikan rakyat sentiasa diambil berat oleh pihak Kerajaan Negeri. Jelajah Ehsan Rahmah (JER) membuatkan ramai rakyat memiliki barang asas dengan murah. Selangor Saring pula telah membantu ramai warga negeri mencegah penyakit kritikal sebelum keadaan semakin serius. Malah setiap rakyat negeri ini dilindungi takaful dan insurans secara percuma melalui Program INSAN.
Semua ini antara puluhan inisiatif kebajikan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dengan segala maklumat dimuatkan di www.selangorpenyayang.com
Tahun 2023 juga mencatatkan sejarah di mana rakyat Negeri Selangor telah memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan kerja baik dan segala usaha bagi tempoh 5 tahun lagi. Rakyat Selangor telah memilih rekod pencapaian dan bukan retorika politik sempit yang dangkal.
Insya-Allah, saya berharap tahun 2024 kita tanamkan azam bersama-sama untuk menjadi lebih baik.
Selamat Tahun Baru 2024 kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya bagi warga Selangor. Semoga tahun ini membawa pelbagai harapan dan kejayaan baharu.