Selamat Menyambut Awal Muharram 1444H

Perutusan Maal Hijrah 1444H
Peristiwa agung Hijrah menjadi titik tolak yang penting dalam pembentukan awal sebuah ummah yang kemudiannya berkembang ke serata alam menjadi sebuah tamadun besar.
Pengkisahan tentang hijrah juga telah menjadi sebahagian daripada pembentukan jati diri dan kesedaran seorang muslim sejak dari kecil lagi.
Secara lumrahnya seorang kanak-kanak muslim akan disajikan dengan ceritera tentang kesetiaan terhadap perjuangan, keberanian dan semangat setia kawan yang tinggi.
Kita sangat kagum dengan kesetiaan Abu Bakr As-Siddiq, keberanian Ali Abu Talib dan juga semangat setia kawan dan kasih sayang yang tinggi ditunjukkan antara Muhajirin dan Ansar.
Hijrah mengajar kita bahawa mehnah dan tribulasi bukanlah jalan mati dalam perjuangan. Begitu juga kesusahan dan krisis yang kita hadapi harus ditangani dengan cermat dan berstrategi seperti mana yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat yang merupakan generasi terbaik Islam (khayra ummah).
Usaha dan ikhtiar dengan bersungguh-sungguh bukanlah sia-sia tetapi akan mendapat balasan yang seperti mana yang dijanjikan Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 195:
“… maka orang-orang yang berhijrah, dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti kerana berada di jalan Allah, dan yang berperang dan yang terbunuh, sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya”
Di kesempatan ini elok juga kita mengambil peluang untuk memperbaharui azam kita untuk menjadi seorang muslim yang terbaik dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi dan terus memberikan sumbangan kepada umat dan negara ini.
Akhir kalam, saya mengucapkan selamat menyambut Ma’al Hijrah 1444 kepada semua.
__
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor