Suara

Peristiwa
18/1/22
Isu
Selangor

Selamat Menunaikan Ibadat Thaipusam 2022

Perutusan Thaipusam 2022

Sebagai tuan rumah kepada Kuil Batu Caves, sudah semestinya DUN Sungai Tua menjadi tumpuan semua penganut Hindu pada tarikh yang dinanti-nanti: Hari Thaipusam.

Kebiasaannya hari ini, kemuncak penyembahan mereka kepada Dewa Murugan diterjemahkan dengan berpuasa dan mengangkat Kavadi, simbolik penyerahan diri mereka yang total.

Upacara ini boleh dianggap suatu bentuk pengorbanan tertinggi oleh seorang penganut Hindu.

Justeru simbolik pengorbanan ini dapat diambil iktibar oleh segenap warga tanpa mengira latar agama dan bangsa.

Untuk kesekian kalinya, tahun ini Thaipusam kekal diraikan dengan kekangan pergerakan rentetan pandemik COVID-19 yang impaknya berterusan mengesani kehidupan seharian kita.

Sementelahan, kita semua sedikit sebanyak terkesan dengan tragedi banjir yang melanda Selangor baru-baru ini yang menelan korban nyawa dan material bukan kepalang.

Kerajaan Negeri turut berdukacita dengan bencana luar jangka yang terjadi ini dan telahpun mengarahkan agar segenap jentera, aset dan wang ringgit disalurkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Iltizam setiakawan atas dasar manusiawi yang ditunjukkan oleh semua sukarelawan yang datang dari seluruh pelusuk negara, membuktikan betapa pengorbanan semua pihak diperlukan bagi mengeluarkan kita semua dari sebarang bencana yang berlaku.

Sebagaimana kemenangan Dewa Subramaniam yang menjadi petanda kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, marilah kita sama-sama terus berkorban demi kebaikan dan kemaslahatan rakyat seluruhnya.

Atas ingatan tersebut, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu.

__

Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.