Perutusan Rasmi Selamat Hari Wanita 2021
PERUTUSAN HARI WANITA SEDUNIA 2021
Pentingnya peranan wanita telah menjadi salah satu wacana utama di dalam pemikiran politik moden. Jalan panjang perjuangan wanita telah bermula seawal 1903 dengan penubuhan Women's Social and Political Union di Britain. Perjuangan mereka telah diperakui apabila wanita berjaya diberikan hak untuk mengundi pada 1928 dan kesetaraan hak bekerja dengan Akta Diskriminasi 1975. Namun, perjuangan pengarusperdanaan gender dan kesenjangan bayaran upah (gender pay gap) masih belum tamat dan dan wajar terus disokong sehingga kini.
Sederetan nama-nama tokoh wanita terbilang seperti Raden Adjeng Kartini, Emmeline Pankhurst, Dr. Salma Ismail, Sybil Kathigasu dan Malala Yousafzai merupakan nama-nama besar yang mencorak kesedaran tentang peranan dan kuasa wanita. Dato’ Seri Wan Azizah binti Wan Ismail mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia wanita yang pertama.
Sewaktu gelombang anti-establishment terus melaju di merata dunia, dengan contoh terbaharu yang dapat kita lihat adalah di Amerika Syarikat melalui gerakan #BuildBackBetter mahupun di negara-negara jiran yang mengalami krisis legitimasi—ternyata keinginan mencabar status quo semakin tidak dapat dibendung.
Inilah yang cuba dibawa tema global #ChooseToChallenge ataupun ‘Wanita Waja: Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ sempena Hari Wanita Sedunia 2021.
Pemerkasaan wanita dalam segala aspek, terutamanya ekonomi dan politik, bukan lagi suatu pilihan tetapi suatu perkara asas yang harus menjadi garis ukur pembangunan sesebuah bangsa dan negara. Kemajuan sesebuah negara tidak harus diukur secara angka FDI ataupun perniagaan sahaja.
Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) pada 7hb Disember 2020 menyatakan betapa tahap pendidikan wanita sangat mengagumkan melebihi lelaki di Malaysia sebanyak 5.3%. Namun, peluang dan penglibatan ekonomi wanita adalah 38% kurang daripada lelaki. Penglibatan wanita dalam pembinaan negara serta politik pula hanya 10.8% berbanding lelaki.
Jika kita melihat kepada impak pandemik COVID-19 pula, UNICEF dalam analisanya ‘Families on the Edge, Issue 3’, melaporkan 64% isi rumah berpendapatan rendah yang diketuai wanita mengalami kesukaran membeli makanan asas berbanding biasa, pada kadar 57%.
Ketidakseimbangan antara keupayaan wanita dan peluang ekonomi serta politik yang ditawarkan sudah pasti memberi impak kepada situasi kewangan mereka.
Justeru, Kerajaan Negeri mengumumkan penambahan 5,000 penerima Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) yang memberikan mereka RM2,400 setahun untuk menampung keperluan asas keluarga.
Penglibatan dan sumbangan wanita dalam perniagaan, pendidikan, sukan, seni, pentadbiran adalah luar biasa dan wajar terus diperakui.
Selangor telah membuktikan peranan wanita sama penting dan diiktiraf dengan mengemudi nakhoda pentadbiran Kerajaan Negeri dengan beberapa portfolio serta pengurusan beberapa PBT, agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri seperti MBSJ, MBI dan PKNS. Malah, Selangor pernah mempunyai Speaker Dewan wanita pertama di Malaysia.
Selangor akan terus mengorak langkah memperjuang agenda Pengarusperdanaan Gender dan memastikan akses, peluang serta harapan para wanita terbela di Negeri Merah Kuning ini.
Itulah sebabnya setiap lapisan masyarakat di Selangor, sama ada komuniti perniagaan, pentadbiran kerajaan, ataupun institusi keluarga, harus bekerja sebagai satu pasukan untuk memecahkan artificial ceiling yang menyekat kemaraan wanita supaya kita menggembleng tenaga agar potensi sebenar kita dapat direalisasikan.
Hari ini 8 Mac 2021, marilah kita bersama-sama seluruh dunia meraikan Hari Wanita Sedunia--hari bagi mengingati dan mengiktiraf peranan wanita yang signifkan dalam pembangunan bangsa dan negara kita.
Selamat Hari Wanita!
__
YAB DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor