Selamat Hari Kebangsaan 2021
PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 2021
30hb Ogos 2021
Kita menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dalam suasana krisis kesihatan dan politik yang berpanjangan. Suatu krisis yang belum pernah kita alami sebelum ini. Pengalaman lampau ketika melalui liku-liku cabaran dari penjajahan hinggalah proses pengisian kemerdekaan seharusnya mengajar kita untuk terus cekal dan berfikiran positif.
Selepas berlakunya sejarah hitam 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak yang pada waktu itu mempengerusikan Majlis Perundingan Negara mengetengahkan idea dan prinsip Rukun Negara sebagai usaha mengemudi negara ke arah identiti kebangsaan.
Pada ketika itu, suatu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum difikirkan perlu untuk diwujudkan di negara muda ini.
Majlis Perundingan Negara dalam beberapa siri perbincangan menggariskan beberapa objektif seperti kebersamaan, kehidupan berdemokrasi, sebuah masyarakat yang adil dan saksama, pemeliharaan nilai dan tradisi serta sebuah bangsa yang progresif ke arah penggunaan sains dan teknologi.
Latar belakang ini kemudiannya menjadi menjadi teras kepada 5 prinsip yang dilaungkan kita sejak dari bangku sekolah lagi, selepas dimasyhurkan oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni al-Marhum Sultan Haji Zainal Abidin III Mu’azzam Shah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-4, pada 31 Ogos 1970, ulang tahun kemerdekaan ketiga belas.
Seperti Pancasila di Indonesia, deklarasi bersama ini menjadi iltizam dan bahtera untuk mengemudi negara Malaysia agar setiap rakyat memahami sejarah, kisah dan rencana kemerdekaan yang dipenuhi jalan berliku-liku dan melibatkan pengorbanan pelbagai pihak.
Dan sejak detik itu, negara kita telah melalui pelbagai cabaran untuk tiba sehingga ke detik ini.
Walaupun ulang tahun kemerdekaan kali ini seakan-akan dejavu tahun lalu, di mana kita mengharungi dan menghadapi cabaran virus COVID-19 yang meragut lebih 14,000 nyawa dan menjangkiti sekurang-kurangnya 1,593,602 warga di Malaysia, perbezaannya kali ini, sejumlah besar penduduk negara telah menerima vaksin, termasuk sekurang-kurangnya 3,312,825 ataupun 69.75% daripada populasi dewasa yang mendaftar untuk menerima vaksin.
Namun, negara kita tidak boleh laungkan kata-kata "Merdeka!" daripada wabak COVID-19 selagi terdapat kes-kes jangkitan virus ini yang masih menular di negara kita serta negara-negara lain. Ini mendesak keperluan untuk kita semua mengadaptasi secara sepenuhnya cara dan gerak kehidupan kita dan menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama-sama dengan ancaman COVID-19 (live with the virus) sebagai endemik.
Menginsafi hakikat itu, kita berada dalam saat terpenting dalam abad ini yang harus difahami dan didalami oleh setiap lapisan masyarakat, daripada peringkat ketua-ketua keluarga dan komuniti sehingga ke tahap pimpinan negara.
Dan cabaran yang saya maksudkan di sini adalah jurang generasi ataupun ‘generational divide’ yang sedang kita lihat.
Setiap generasi mempunyai detik 'kemerdekaan'-nya, dan ditimbulkan sama ada melalui isu, kejadian, situasi ataupun darurat yang mendorong sekumpulan orang untuk berhenti menerima sesuatu situasi dan mula bertindak membetulkan kesilapan-kesilapan yang dilihat serta dialaminya.
Misalnya, Dr. Martin Luther King belum tentu akan tertonjol sebagai ikon pembebasan jika tidak berlakunya penindasan warna kulit. Kemerdekaan India tidak mungkin dapat dicapai tanpa jerih-payah Mahatma Gandhi. Begitu juga dengan negara kita ke arah membebaskan tanah ini daripada cengkaman kuasa luar.
Secara peribadi, kesedaran saya untuk menjadi lebih aktif dan menyumbang kepada pembangunan negara tercetus pada tahun 1998 yang kemudiannya dikenali sebagai Generasi Reformasi. Generasi ini bangkit menuntut keadilan akibat berlakunya beberapa insiden melibatkan kuasa negara digunakan secara sewenang-wenangnya bagi kepentingan tertentu.
Ini disusuli pula dengan Generasi Bersih sepuluh tahun kemudian yang melihat lahirnya generasi baharu yang menuntut, antara lain, supaya meratakan padang sistem pilihan raya.
Kini, kita berada pada titik pertimbangan itu dan kemuncak lahirnya generasi baharu, ‘on the precipice of the birth of a new generation’ yang menuntut supaya masa hadapan negara tidak ditentukan hanya oleh mereka yang dilihat sebagai generasi Perang Dingin.
Generasi ini merasakan bahawa suara mereka tidak didengari pimpinan politik dan negara yang berasaskan sistem hierarki. Mereka melihat sistem ini didirikan dengan konsep jalan sehala kerajaan kepada rakyat tanpa wujudnya dialog yang sewajarnya.
Bahasa politik yang digunakan kini dilihat tidak relevan dan tidak menyentuh kepentingan generasi muda kerana lahir dari perasaan yang kurang ikhlas. Ini mungkin menolak penglibatan mereka daripada kekal 'engaged' menjadi tidak peduli atau 'disengagement' malahan mungkin membawa kepada 'apathy' ataupun pendirian sinikal.
Mereka menuntut supaya padang permainan menjadi rata agar medan politik menjadi lebih inklusif, bukan terpaut kepada sistem, pendekatan, komitmen dan kesilapan yang lepas.
Dunia yang bakal mereka warisi terpaksa menghadapi cabaran yang berlainan berbanding generasi sebelum ini. Antaranya seperti perubahan iklim, perumahan mampu milik, model pengajaran dan pembelajaran yang bertaraf dunia, peluang dan kualiti pekerjaan baharu, serta sistem kewangan yang lebih adil dan saksama.
Disebabkan ini, negeri Selangor tampil ke hadapan dengan beberapa usaha dan idea di luar kotak, seperti usaha ke arah menjamin peluang pekerjaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bentuk Selangor Advance, Selangor Freelancer, Niaga Darul Ehsan, perumahan mampu milik berkualiti Rumah Idaman, serta pengkhususan kepada kesihatan awam menangani penularan wabak COVID-19 seperti saringan berskala besar serta bantuan pantas kepada golongan yang amat terkesan.
Cara dan pendekatan yang digunakan untuk menangani perkara ini amat penting kerana generasi muda bakal menjadi duta abad ke-21.
Namun, penting juga untuk generasi muda memahami, mendalami dan menghargai usaha dan pengorbanan yang disumbang oleh generasi-generasi sebelum ini agar tidak terkeluar daripada rasa kekitaan dalam memelihara identiti kebangsaan yang menjadi hak bersama kita semua.
Tun Razak pernah berpesan bahawa “kita bertanggungjawab mengisi kemerdekaan yang telah kita capai dan kita bertanggungjawab membina satu bangsa yang mempunyai taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara kita ini daripada rakyat negeri kita yang berasal dari berbagai bangsa itu,”.
Mengambil iktibar tersebut, marilah bersama-sama kita mengisi kemerdekaan dengan memajukan bangsa ini kehadapan.
Saya mengakhiri perutusan ini dengan sekali lagi memetik kata-kata Tun Razak, “kemajuan sesuatu bangsa itu bukanlah dalam tangan Kerajaan bahkan bukanlah dalam tangan Menteri, tetapi ialah dalam tangan, dalam nadi dan titik peluh tiap-tiap orang rakyat. Oleh itu kalau kita semua ada mempunyai keazaman, semangat dan jiwa ingin kepada kemajuan, semangat dan jiwa berani dan bersedia berkorban dan bertenaga, dengan berkat Tuhan kemajuan-kemajuan akan tercapai".
Selamat Hari Kebangsaan kepada semua!
[BACA KENYATAAN MEDIA]
__
YAB DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR