Suara

Peristiwa
16/5/21
Isu
Selangor

Selamat Hari Guru 2021

PERUTUSAN HARI GURU 2021

Sejak pandemik COVID-19 bermula, kadar ketenangan yang biasa dialami masyarakat dilihat mula terjejas.

Ketenangan yang semakin berkurang  membawa kepada tekanan yang meningkat dalam pelbagai aspek kehidupan kita. Perkara ini bukanlah suatu yang asing malah ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat kita saat ini.

Selain petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan keselamatan, kita juga bersimpati dengan nasib ibu bapa dan pelajar yang terpaksa mengharungi kesan ekonomi dan pendidikan yang terhasil akibat COVID-19.

Ini membawa kepada ungkapan ‘The Lost Generation’ pada tahun lalu apabila memikirkan situasi pelajar yang hilang peluang pendidikan selama setahun. Kini, situasi ini sudah pun memasuki tahun kedua.

Namun, pandemik COVID-19 juga telah mengingatkan saya mengenai ‘The Forgotten Frontliners’ ataupun petugas barisan hadapan yang kadang-kadang kita dilupakan, iaitu para guru kita di seluruh negara.

Kita sering kali diingatkan bahawa generasi muda adalah aset dan masa hadapan negara.

Namun, aset ini tidak akan mempunyai nilai sahsiah ataupun moral yang baik jika tidak melalui proses didikan dan asuhan oleh tenaga kerja yang komited ataupun diabaikan kebajikannya seperti yang telah dan sedang dilalui oleh guru-guru kita.

Ketidaktentuan peraturan berkenaan perihal COVID-19 sekaligus ketaksaan sistem dan hala tuju dasar pendidikan negara harus menjadi tumpuan utama.

Tekanan yang dilalui para guru kita tidak boleh diabaikan dan wajib kita perbaiki bersama-sama tanpa mempolitikkan sistem dan hala tuju pendidikan negara.

Guru-guru juga menghadapi situasi yang sama seperti masyarakat lain; cabaran masyarakat berusia ataupun 'ageing society' dengan menjaga ibu bapa serta anak-anak, serta turut mengalami tekanan emosi dan kewangan.

Faktor-faktor ini sudah pasti menyumbang kepada keresahan dalam kalangan tenaga pengajar sehingga boleh menyebabkan perkara-perkara yang memberi impak kepada pelajar seperti yang kita lihat dalam kes berkait Ain Husniza Saiful Nizam yang viral di Tik Tok.

Jika guru-guru diabaikan, adakah wajar untuk kita mengharapkan keperluan, keselamatan dan kebajikan pelajar kita turut dipelihara?

Guru-guru kita adalah aset negara yang paling bernilai jika kita mempunyai iltizam memajukan negara dengan menghasilkan generasi muda yang berakhlak, berketrampilan dan berwawasan.

Pada waktu negara sedang berhadapan dengan krisis yang dirasai setiap hari oleh masyarakat, tanggungjawab pemimpin negara adalah mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh masyarakat dengan memastikan kita bekerja dengan penuh komitmen supaya perkara asas seperti kebajikan rakyat dipelihara.

Usaha sebegini dapat memberi nafas baharu supaya kerjaya seorang guru mencapai apa yang diungkapkan oleh Abraham Lincoln sebagai 'the better angels of our nature’.

Kata-kata Lincoln dalam usaha mendamaikan kerenggangan di Amerika Syarikat harus menjadi dorongan kita dalam usaha memulihkan situasi negara kita termasuk masa hadapan sistem pendidikan negara bagi manfaat para guru dan pelajar kita.

Selamat Hari Guru kepada petugas barisan hadapan pendidikan negara!

[BACA KENYATAAN MEDIA]

__

YAB Dato' Seri Amirudin Shari

Dato' Menteri Besar Selangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.