Perutusan Thaipusam 2021
Saya mengucapkan Selamat Hari Thaipusam kepada seluruh masyarakat Hindu di negeri Selangor khususnya, dan Malaysia amnya, lebih-lebih lagi untuk komuniti Tamil.
Thaipusam, yang berasal dari perkataan ‘thai’, iaitu sepuluh, ataupun bulan kesepuluh, serta pusam, iaitu waktu bulan bersinar paling terang, boleh dikatakan antara perayaan yang terpenting bagi masyarakat Hindu dan Tamil di Selangor.
Sejak mewakili rakyat di Batu Caves dan kemudiannya Sungai Tua, saya melihat dengan betapa meriahnya perayaan ini diraikan oleh penganut Hindu dari seluruh Malaysia serta negara luar, yang datang berkunjung untuk menaiki 272 anak tangga sebelum tiba di puncak gua Batu Caves, agar dapat memberi penghormatan kepada Dewa Murugan yang amat penting kepada orang Hindu.
Menurut Skanda Purana, sebuah buku mitologi Hindu, Thaipusam adalah hari Dewa Subramaniam mengalahkan pengaruh-pengaruh negatif atas gesaan ayahandanya, Dewa Siva. Selepas kemenangan ini, Dewa Subramaniam menaiki burung merak untuk berjumpa dengan penganut-penganutnya, sambil memakai barang kemas dan memegang lembing emas, dan kemudiannya diangkat dengan kereta kuda.
Elemen-elemen ini secara simboliknya menjadi penting pada Hari Thaipusam. Dan maksud yang tersirat adalah kemenangan kebaikan mengatasi keburukan--perkara asas kepada sambutan hari Thaipusam.
Perayaan ini juga mengajak penganut-penganut Hindu agar melakukan pengorbanan serta mendoakan agar mereka, anak-anak, dan sanak keluarga akan sentiasa selamat dan tidak diancam sebarang keburukan.
Inilah waktu penganut Hindu akan mengangkat kavadi, ataupun periuk diisi susu yang dipanggil ‘paal kudam’, sebagai tanda pengorbanan, kesetiaan serta mengharapkan doa mereka diterima.
Para ayah akan mendoakan agar keluarga mereka sentiasa selamat, sementara ibu-ibu akan memohon supaya anaknya akan berjaya dalam peperiksaan akan datang, manakala anak-anak pula akan mendoakan agar mereka diberikan peluang pekerjaan untuk membantu ibu bapa mereka.
Ia sama seperti umat beragama yang lain dalam mendoakan agar anak-anak mereka melakukan yang terbaik dalam peperiksaan yang bakal berlangsung kurang daripada sebulan lagi.
Masing-masing mempunyai fahaman dan cara tersendiri untuk harapan yang sama agar anak-anak kita berjaya dalam hidup, dan kita sebagai ibu bapa dapat memberikan yang terbaik buat mereka.
Sebagai seorang yang beragama Islam, saya amat memahami kesukaran yang dihadapi masyarakat Hindu yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab agama mereka pada perayaan Thaipusam tahun ini akibat situasi lockdown yang kita hadapi.
Itulah sebabnya saya percaya Thaipusam kali ini akan lebih bermakna kepada penganut agama Hindu, dalam waktu anda menunaikan tanggungjawab agama anda dengan kaedah yang sedikit berbeza.
Kepada ibu bapa, berikanlah sokongan penuh kepada anak-anak dengan apa jua cara pada detik-detik ini. Saya melihat dengan sendiri kesukaran yang dihadapi para pelajar di Selangor sewaktu mereka tidak diberikan bantuan daripada institusi sedia ada, dan pengorbanan ibu bapa supaya dapat menyediakan perkara asas seperti tablet dan komputer riba kepada anak-anak mereka.
Dan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, anda merupakan generasi paling unik kerana menghadapi peperiksaan dengan pelbagai cabaran dalam era pandemik ini.
Namun, segala usaha dan penat lelah yang telah anda lalui sudah pasti akan mendatangkan keputusan cemerlang.
Sekali lagi, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, mengucapkan Selamat Hari Thaipusam kepada seluruh masyarakat Hindu di Selangor dan Malaysia.
__
YAB Dato' Seri Amirudin Shari
Dato' Menteri Besar Selangor