Perutusan Maal Hijrah 1443H
Perutusan Maal Hijrah 1443H
"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.”(Potongan terjemahan Al-Quran ayat 40 Surah At-Taubah)
Dihimpit antara dua kerajaan besar Parsi dan Rom, Semenanjung Tanah Arab semenjak dahulu ternanti-nanti suatu kebangkitan yang akan mengangkat mereka ke pentas dunia. Dengan kedatangan Nabi Muhammad S.A.W, bangsa gasar yang nomadik ini akhirnya berjaya menjadi pencetus Empayer Islam yang menguasai hampir 2/3 muka bumi.
Dan titik penting perubahan itu boleh dikatakan bermula dengan peristiwa Hijrah ini.
Ayat suci Al-Quran Al-Karim yang dipetik di awal tulisan ini merakamkan dialog tersohor antara Junjungan Besar kita bersama sahabat setia yang terutama, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A pada saat genting dalam peristiwa tersebut. Ia membuktikan penyerahan diri secara total dan keyakinan yang paling tinggi pada Allah Rabbul Jalil sewaktu nyawa baginda dan sahabatnya hampir diragut oleh penindas Quraisy.
Lebih awal dari itu, umat Islam sejak sekian kalinya ditindas di bumi Mekah. Setelah diseksa, dipulaukan serta diboikot perniagaan serta kelangsungan hidup mereka, golongan Muslim awal dengan penuh tanggungjawab berterus-terusan mencari tapak yang baru. Walaupun mendapat dokongan awal dari Raja Habsyah yang baik, kepentingan menyebarkan dakwah Islam tidak pernah terhenti dan akhirnya mencapai kemuncaknya dengan perpindahan penuh susah payah namun berstrategi ke Madinah.
Apa yang terjadi selanjutnya, seperti yang kita ketahui, adalah sebahagian dari lipatan sejarah.
Dari zaman ke zaman, peristiwa ini sering menjadi panduan spiritual bagi mana-mana gerakan Islam, dan iktibar untuk umat Islam amnya. Banyak yang dapat dipelajari, sama ada yang tersurat dan tersirat, daripada perincian persediaan, ketabahan dalam menghadapi derita yang merudung serta mesej-mesej yang didasari rasa kebertanggungjawaban untuk membawa keluar umat manusia dari kegelapan menuju cahaya, min Adzulumat ila Nur.
Dan tidak dinafikan, intipati daripada peristiwa ini adalah anjuran untuk kita sentiasa berubah. Umat Islam harus mempersiapkan diri bagi mendepani cabaran zaman, dan menyedari bahawa mengulang-ulang kaedah yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza merupakan suatu kebodohan.
Kebetulan bulan ini juga merupakan bulan kebangsaan. Sepertimana ikoniknya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu daripada Portugis, Inggeris dan Jepun yang kemudiannya bergabung bersama wilayah Sabah dan Sarawak dan menjadi Malaysia, begitulah pentingnya peristiwa Hijrah ini buat umat Islam seluruhnya.
Saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1443H kepada semua umat Islam terutamanya di Selangor. Semoga kita bersedia berubah ke arah yang terbaik di tahun baru ini, insyaAllah.
__
Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor