Suara

Peristiwa
12/5/21
Isu
Selangor

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1442H

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1442H

Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada seluruh umat Islam, khususnya buat warga Negeri Selangor Darul Ehsan.

Jika perayaan Aidilfitri tahun lepas diikuti dengan ungkapan ‘norma baharu’ bagi memberikan gambaran sambutan yang tidak pernah kita lalui, Hari Raya Aidilfitri kali ini membawa perasaan ‘déjà vu’, bagaikan kita mengulangi perkara sama seperti tahun yang lalu.

Dengan semangat Kita Jaga Kita, kita telah membuktikan tahun lalu bahawa umat Islam mampu meraikan Aidilfitri dengan sederhana, tanpa mengunjungi bazar,  balik kampung atau berkumpul di rumah saudara-mara serta rakan.

Pada waktu itu, kita berjaya menikmati detik-detik perayaan dengan keluarga tersayang di rumah sendiri. Kita juga berjaya mengadaptasi diri kepada norma baharu dan menghubungi keluarga di kampung  melalui panggilan video WhatsApp ataupun Zoom.

Paling tidak, kita mempunyai kesempatan menyantuni jiran tetangga yang dekat dengan berkongsi makanan dengan mereka atas kekangan PKP yang ada.

Kali ini, saya melihat kelompok besar masyarakat kembali kepada kebiasaan lama, sekaligus mengabaikan SOP dan tidak mengamalkan 3W dan serta menjauhi 3S.

Saya tertanya mengapa ini berlaku. Adakah ianya disebabkan keresahan COVID-19 yang menyebabkan ‘ticking time bomb’ dalam kehidupan kita? Ataupun tindakan masyarakat adalah sebagai respon kepada tindak-tanduk pemimpin dan orang kenamaan yang kelihatan tidak tertakluk kepada Tatacara Operasi Piawai (SOP) sedangkan rakyat biasa disaman sehingga berpuluh ribu ringgit?

Ditambah pula dengan ketidaktentuan hala tuju negara dari segi politik mahupun ekonomi, situasi ini bagaikan ‘the perfect storm’ yang menyebabkan rakyat bertambah resah, marah dan hilang keyakinan kepada pembuat dasar dan undang-undang yang dilihat tidak adil serta saksama.


Itulah bahayanya pemerintahan yang kurang stabil dan gagal membina kepercayaan rakyat sehingga tanda pagar seperti #KerajaanGagal tular di media sosial.

Perkara-perkara sebegini tidak harus diabaikan oleh mana-mana pemimpin, sama ada di peringkat negara mahupun akar umbi. Ini adalah keresahan yang sudah tertanam sejak lebih setahun lalu dan masih belum terlihat kesudahannya.

Ingatan ini mendorong Kerajaan Negeri untuk sentiasa memfokuskan segala usaha menangani impak kesihatan dan ekonomi yang disebabkan pandemik COVID-19.

Sejak PKP mula diisytiharkan oleh Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, Kerajaan Negeri yang dipimpin Pakatan Harapan serta disokong seluruh penjawat awam telah bertungkus-lumus menggunakan teknologi seperti SELangkah dan kaedah-kaedah inovatif seperti saringan bersasar serta Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) supaya wabak ini dapat ditangani.

Inilah natijah daripada penubuhan Selangor Task Force COVID-19 (STFC) yang diterajui mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad serta pakar-pakar lain termasuk Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman yang kini menjadi ahli Majlis Sains, Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Inisiatif-inisiatif ini ditampilkan atas dasar tanggungjawab terhadap kesihatan awam, terutamanya golongan berisiko tinggi, supaya kita dapat mencapai situasi menang-menang sekaligus menunaikan mandat rakyat yang diperolehi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Antara asas dasar-dasar ini adalah nilai fitrah kemanusiaan yang bermaruah dalam membina masyarakat yang cekal menghadapi segala cabaran. Kecekalan atau resilience sangat penting kerana kita sedia maklum bahawa perjuangan melawan COVID-19 bukanlah larian pecutan 100 meter tetapi sejenis maraton yang akan menguji kemampuan dan ketabahan setiap daripada kita.

Dalam pada itu, saya menyedari betapa COVID-19 merupakan salah satu wadah terbaik untuk kita mengenal semula erti sebenar kehidupan; antara nilai-nilai yang diterapkan oleh ibu bapa kita sejak usia muda lagi.

Dengan fitrah kemanusiaan itu dan semangat #KitaSelangor, kita mesti menang dengan Perang Melawan COVID-19, sepertimana kita memenangi jihad melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan ini.

Selamat Hari Raya. Selamat kembali kepada Fitrah. Minal Aidil Wal Faizin. Maaf zahir dan batin.

[KENYATAAN MEDIA]

__

YAB Dato' Seri Amirudin Shari

Dato' Menteri Besar Selangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.