Perutusan Hari Kebangsaan 2020
31 Ogos 1957.
63 tahun setelah kita merdeka, elok untuk kita menghimbau kembali kata-kata Tunku Abdul Rahman yang berbunyi, “The last thing people in this country want to see is a Malaysia divided into political extremes, for a nation divided against itself can only invite trouble.”
Bapa Kemerdekaan juga menyeru, "Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara."
Pada ulangtahun ke-63 kemerdekaan Malaysia ini, kita tidak boleh melupakan fakta bahawa negara ini dibina dengan usaha dan jerit perit leluhur kita yang menumpahkan darah dan air mata untuk melihat sebuah negara dan bangsa yang maju jaya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia.
Sejak dari awal lagi negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa yang tinggi, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti mana yang digariskan dengan jelas di dalam Rukun Negara.
Namun masih ada kelompok yang tidak mahu memahami nilai-nilai itu dan masih mengamalkan sikap yang boleh menimbulkan kemarahan dan keresahan yang tidak sepatutnya berlaku. Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak hanya boleh dijadikan kata-kata tanpa dipraktikkan dan diperhalusi intipatinya.
Di bulan kemerdekaan ini kita masih lagi tidak merdeka daripada virus COVID-19 ini. Perjuangan ini masih panjang dan ada norma baharu yang perlu kita patuhi untuk kesejahteraan semua pihak. Kita dapat lihat bagaimana sikap mementingkan diri dan degil akhirnya merugikan kita semua. Saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor Darul Ehsan untuk terus mematuhi penjarakan fizikal dan juga sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam.
Di kesempatan ini juga saya memberikan tabik hormat kepada setiap petugas barisan hadapan di Selangor dan seluruh negara yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara dan melindungi rakyat Malaysia daripada pandemik global ini.
Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini.
Selamat Hari Kebangsaan kepada semua!
YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato' Menteri Besar Selangor