Suara

Peristiwa
19/7/21
Isu
Selangor

PERUTUSAN AIDILADHA 1442H / 2021

PERUTUSAN AIDILADHA 1442H / 2021

Pengorbanan Wahana Penyempurnaan

Pejam celik pejam celik, sudah empat hari raya kita lalui pada zaman pandemik ini. Ini bererti telah lebih setahun kita bersama-sama menghadapi saat-saat yang cukup mencabar ini, dengan sama-sama melalui dua hari raya Aidilfitri dan dua hari raya Aidiladha, termasuk yang akan kita sambut tidak lama lagi, dalam keadaan lockdown.

Dalam pada itu, berita dari Arab Saudi sungguh menghibakan umat Islam di seluruh dunia, memandangkan hanya rakyat mereka sahaja yang diberi izin untuk melaksanakan ibadat Haji pada tahun 2021/ 1442 Hijrah ini.

COVID-19 ternyata menduga bukan sahaja daya tahan jasad kita, tetapi turut menguji keimanan kita  serta ketakwaan kita untuk terus mengabdi kepada Yang Maha Mencipta dalam suasana yang sangat berbeza.

Kita sedia maklum bahawa Hari Raya Aidiladha cukup sinonim dengan tema korban dan pengorbanan. Kita mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S dan Siti Hajar. Kita turut mengenang peristiwa korban yang dipersembahkan oleh Habil dan Qabil.

Dalam surah al-Maidah, ayat 27, ketika al-Quran membicarakan kisah ini, ditegaskan bahawa Allah hanya menerima korban dan amalan daripada orang yang bertakwa. Mesej sebegini turut ditemui dalam surah al-Hajj,ayat 37:

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu."

Ternyata, pengorbanan memerlukan syarat ketakwaan. Malah, tiada nilai pada pengorbanan tanpa ketakwaan.

Namun, dalam konteks kita sebagai warganegara yang baik, apakah erti ketakwaan? Ketakwaan bererti melakukan perkara baik dan bermanfaat serta menjauhi perkara buruk.

Allah menyebut beberapa sifat orang bertakwa, antaranya yang disebut dalam al-Baqarah, ayat 177, ialah "seseorang yang mendermakan harta yang disayanginya kepada sanak saudara, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang terputus belanja ketika dalam perjalanan mengerjakan sesuatu yang murni."

Ini merupakan nilai universal yang cukup penting buat manusia dan kemanusiaan. Ketakwaan inilah yang mahu dicapai dalam pelbagai perintah dan arahan Tuhan termasuklah ibadat korban, lebih-lebih lagi di zaman buruk akibat pandemik ini.

Seperti mana kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim A.S serta anakandanya Nabi Ismail A.S bermula dengan berita 'buruk' tentang arahan penyembelihan sebelum akhirnya mendapat Rahmat dan Maghfirah daripada Tuhannya, begitu juga diharapkan agar di hujung perjalanan panjang COVID-19 ini, Allah Yang Maha Mengetahui akan membuka hijabnya serta akhirnya memahamkan kita akan Hikmah-Nya dalam Rencana-Nya yang sempurna sesuai dengan Iradat-Nya.

Meskipun kesempurnaan hanya milik Yang Maha Sempurna, Kerajaan Negeri beriktikad untuk terus memberikan khidmat yang terbaik dan berkorban sebaik mungkin demi kemaslahatan rakyat, yang terbaharu menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Dengan matlamat mencapai ketakwaan, saya berpesan kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga Selangor untuk kita berusaha sedaya mungkin berkorban dan saling membantu saat amat mencabar ini.

Marilah pada yang mampu, bersama-sama mengorbankan sedikit kesenangan untuk dikongsikan kepada yang memerlukan.

Saya cukup terharu dengan kisah-kisah yang berlegar di sekeliling kita. Sekiranya anda memerlukan bantuan atau mengenali sesiapa yang dalam kesempitan, jangan bertangguh untuk hubungi kami. Kerajaan Negeri akan berusaha keras memastikan tiada orang yang tertinggal pada saat ini kerana kita sama-sama jaga kita. Marilah kita saling cakna, bertanya khabar dan meminjamkan telinga untuk mendengar rintihan teman-teman terdekat agar tiada sesiapa yang menghadapi tekanan perasaan atau terjejas kesihatan mentalnya.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Selangor.

Dengan tema 'Pengorbanan Wahana Penyempurnaan', semoga kita semua warga Selangor terus tabah menghadapi dugaan ini dan tidak pernah berhenti berkorban demi mencapai penyempurnaan pengabdian kita kepada Allah Azza Wa Jalla.

__

YAB Dato Seri Amirudin Shari

Dato' Menteri Besar Selangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.