Inisiatif

Peristiwa
20/2/23

Perbahasan Titah Diraja di Sidang Parlimen ke 15

Alhamdulillah, pagi ini saya telah mengambil bahagian dalam Perbahasan Titah Diraja di Sidang Parlimen ke 15.

Berikut adalah intisari ucapan perbahasan :

1. Memperkasakan peranan Ahli-ahli melalui Akta Perkhidmatan Parlimen. Ini adalah supaya Parlimen berada pada kedudukan yang setaraf dengan badan kehakiman dan badan eksekutif, selaras dengan doktrin pengasingan kuasa.

Ini akan membolehkan Ahli-ahli Parlimen sebagai penggubal dasar setanding dengan peranan hakim-hakim badan kehakiman, serta tugas Jemaah Menteri serta Timbalan-timbalan Menteri dalam badan eksekutif.

2. Mencadangkan penubuhan lima buah Jawatankuasa Pilihan Khas baharu dengan fokus khusus seperti berikut.

i) Jawatankuasa Pilihan Khas Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun yang bertujuan meneliti peranan serta fungsi anak-anak syarikat serta badan berkanun supaya beroperasi dengan optimum.

ii) Jawatankuasa Pilihan Khas Federalisme untuk meneliti semula hak negeri-negeri seperti Selangor, Sabah, Sarawak, dan yang lain agar pengagihan cukai dapat dikongsikan dengan negeri supaya dapat bersama terlibat dalam proses pembinaan negara.

iii) Jawatankuasa Pengangkutan Awam untuk melihat sistem pengangkutan awam secara end-to-end dan meningkatkan penggunaan sistem pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat memandangkan kadar urbanisasi yang tinggi.

iv) Jawatankuasa Mobiliti Sosial supaya kerajaan dapat beralih daripada hanya memberi kepada rakyat ke memberdaya rakyat, termasuk menilai keberkesanan bantuan kerajaan.

v) Jawatankuasa Masyarakat Menua sebagai persediaan menghadapi situasi lebih ramai warga emas yang menimbulkan cabaran seperti keselamatan kewangan pasca bersara.

Tambahan kepada itu, Untuk memastikan kesemua jawatankuasa ini dapat berfungsi secara sepenuhnya dengan optimum, sememangnya saya melihat bahawa terdapat ruang untuk menambahbaik skop dan sumber perpustakaan di Parlimen supaya menjadi Perpustakaan Legislatif Unggul Negara.

3. Selain itu, saya turut mencadangkan aspek-aspek tambahan yang mampu mengukuhkan peranan dan kedudukan Parlimen adalah untuk menambah jumlah hari persidangan Dewan Rakyat agar Ahli-ahli Parlimen boleh memfokuskan usaha kepada pemindaan dan pembaharuan undang-undang serta polisi.

Jika dibandingkan dengan House of Commons di United Kingdom, mereka bersidang kira-kira 150 hari setahun, manakala Parlimen Malaysia hanya bersidang kira-kira 75 hingga 80 hari setahun sahaja.

4. Bagi memberi ruang tambahan serta kerjasama dan input rakyat kepada wakil- wakil rakyat, saya juga mencadangkan supaya satu hari dikhaskan untuk setiap persidangan bagi tujuan Rang Undang-undang Persendirian ataupun Private Member’s Bill dicadangkan.

Saya berharap perkara-perkara ini diberikan penelitian yang khusus oleh pihak Kerajaan agar kita sama-sama dapat meningkatkan nilai tambah Parlimen supaya rakyat yang memilih wakil mereka dapat menilai peranan dan kerja Ahli Parlimen

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.