Inisiatif

Peristiwa
8/3/24

Perbahasan Titah Diraja di Parlimen

Perbahasan Titah Diraja di Parlimen

Alhamdulillah saya berpeluang menyampaikan beberapa cadangan dan pendapat sewaktu membahasakan Titah Diraja KDYMM Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat petang tadi.

Saya bermula dengan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) yang mengupah 97.2% daripada seluruh pekerja negara dan menyumbang 38.2% kepada KDNK nasional.

Bagi meningkatkan potensi dan kebolehupayaan PKS, Kerajaan Persekutuan harus mengagihkan 5% daripada jumlah hasil cukai korporat yang dianggarkan diterima pada tahun ini dan diagihkan kepada negeri-negeri.

Pengagihan ini boleh dilakukan dengan mengira jumlah PKS yang didaftarkan di setiap negeri dan diimbangi dengan prestasi dan kemampuan negeri-negeri untuk meningkatkan prestasi PKS secara dasar mahupun insentif.

Tahun ini, Perbendaharaan menganggarkan hasil cukai korporat sebanyak RM106.42 billion, dan sekiranya 5% daripada jumlah ini, iaitu RM5.32 billion diagihkan mengikut kriteria yang saya cadangkan, ini juga mampu mengurangkan kebergantungan negeri kepada hasil tanah.

Kedua, dakwaan pihak pembangkang bahawa nilai ringgit terus merudum tidak berlandaskan fakta yang hanya bersifat mengkritik kerajaan tanpa memahami situasi global mahupun kewangan.

Menurut beberapa institusi perbankan, kenyataan Kementerian Kewangan, serta Bank Negara Malaysia, nilai RM disebut sebagai undervalued dan tidak menggambarkan nilai sebenar berlandaskan fundamental ekonomi yang kukuh.

Institusi-institusi ini menjangkakan bahawa nilai RM mampu mengukuh sehingga RM4.40 sehingga RM4.20 berbanding nilai Dolar Amerika Syarikat.

Ini dibuktikan juga dengan kemampuan Kerajaan yang berjaya menurunkan kadar inflasi kepada sekitar 2% - 3%, jauh lebih rendah daripada pentadbiran sebelum ini yang menyebabkan kadar inflasi melambung sehingga 5%.

Ketiga, saya turut mencadangkan bahawa Kerajaan harus merebut peluang pada tahun 2025 apabila Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN. Ini adalah ruang untuk mengetengahkan dan mempertahankan kepelbagaian komuniti ASEAN yang berasaskan multiculturalism.

Kelangsungan ASEAN bukan sahaja penting dan terbatas di dalam rantau ini tetapi kritikal untuk jangka masa panjang bersama rakan-rakan dagang kita seperti Australia, Amerika Syarikat, China, India, Jepun, dan Korea.

Justeru itu, kesedaran dan kepekaan rakyat terhadap ASEAN harus dipertingkatkan kerana dalam satu kajian, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kurang peka dan arif tentang ASEAN berbanding negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand, meskipun Malaysia adalah antara pengasas kepada ASEAN.

Hal ini kerana negara-negara kuasa utama seperti Amerika Syarikat, China, malah Kesatuan Eropah dan Rusia, masing-masing sedang berhadapan dengan krisis-krisis tertentu.

Dan ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Malaysia pada tahun 2025 mempunyai peluang itu kerana kita berada dalam kawasan yang aman, stabil, dan kurang

konflik.

#Gombak

#KitaSelangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.