Inisiatif

Peristiwa
15/2/23
Selangor

MyMetro: Lima muzium baharu bakal jadi tarikan di Selangor

Kuala Selangor: Selangor bakal memiliki lima muzium baharu yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada tahun depan.

Lima muzium itu adalah Muzium Setem, Muzium Sukan, Muzium Tekstil, Selangor Art Gallery dan Muzium Perlombongan Kapal Korek.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah, berkata ketika ini semua muzium berkenaan dalam proses pembinaan.

"Misalnya, Muzium Setem di Seksyen 14, Shah Alam mengalami kelewatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sedang dalam pembinaan.

"Manakala Selangor Art Gallery pula ketika ini diambil alih Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja baik pulih dan ubah suai bangunan bank lama kepada galeri seni dengan kos RM30 juta," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pembukaan Muzium Permainan Tradisional di Bukit Melawati, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat), Dr Nadia Widyawati Madzhi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli.

Borhan berkata, muzium baharu ini bakal menjadi penunjuk aras kepada kerajaan Selangor dalam usaha memulihara dan menghargai khazanah warisan di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, Padat juga sedang giat melaksanakan kerja menaik taraf Muzium Sultan Alam Shah yang kini berada di peringkat akhir.

"Muzium ini dijangka siap pada Oktober tahun ini. Diharapkan ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan kembali beroperasi," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 3:26pm

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.