Media

Peristiwa
2/5/24
Selangor

My Metro: Masjid, surau, sekolah bawah kawal selia Jais tidak boleh dijadikan tempat berpolitik

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan semua penjawat awam di bawah seliaan agensi itu mengambil sikap profesional dan mematuhi ketetapan serta arahan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sepanjang tempoh berkempen Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata masjid, surau dan sekolah di bawah kawal selia Jais tidak dibenarkan dijadikan tempat berpolitik atau propaganda politik kepartian.

"JAIS ingin mengingatkan kepada semua penjawat awam di bawah seliaan Jais mengambil sikap profesional dan mematuhi ketetapan serta arahan yang dibuat oleh Mais.

"Jais juga mengingatkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ketetapan Mais berhubung perkara ini masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sepenuhnya.

"Pegawai masjid, pentadbir surau dan ketua guru bertanggungjawab terhadap premis yang berada di bawah kawalannya dengan melaksanakan amanah ini dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh sebarang sentimen politik kepartian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya perkara berkaitan dilakukan, JAIS akan merujuk kepada Seksyen 12 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017; Garis Panduan Perlantikan, Penyambungan Dan Penamatan Tauliah Pendaftar Dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Dan Ruju' Orang Islam Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) (Pindaan) 2006 bagi diambil tindakan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.