Suara

Peristiwa
17/3/21
Selangor
Negara
Air

My Metro: Kerjasama strategik Air Selangor, IWK

Kuala Lumpur: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menandatangani satu perjanjian bagi usaha sama memulihkan kegunaan air melalui penubuhan syarikat tujuan khas, Central Water Reclamation Sdn Bhd.

Melalui kerjasama itu, Air Selangor akan memiliki pegangan 60 peratus manakala IWK sebanyak 40 peratus dalam syarikat tujuan khas berkenaan.

Perjanjian itu bagi membolehkan bioefluen yang dirawat di loji rawatan IWK dibekalkan ke loji rawatan Central Water yang dilengkapi teknologi terkini untuk dirawat seterusnya.

Loji rawatan Central Water kemudian akan menghasilkan air yang tidak boleh diminum terawat yang boleh digunakan dengan selamat oleh industri dan pertanian bukan tanaman khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air itu akan diagihkan oleh Air Selangor menerusi jaringan paip khas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IWK, Narendran Maniam berkata, pelaburan untuk projek pertama yang melibatkan Loji Rawatan Air Pulih Guna di Setia Alam, Selangor, berkapasiti mengeluarkan sehingga 7.5 juta liter air terawat yang tidak boleh diminum sehari bernilai hampir RM15 juta.

"Projek ini adalah loji sedia ada dengan jajaran paip sedia ada. Central Water dijangka mengambil alih dan memulakan operasi pertama pulih guna air di loji rawatan Setia Alam pada suku kedua 2021," katanya pada sidang media secara dalam talian, semalam.

Beliau berkata, IWK dan Air Selangor juga akan memperluaskan lagi kerjasama itu untuk merangkumi dua lagi loji rawatan IWK yang terletak di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam yang dijangka bermula awal 2022.

"Usaha sama ini bagi jangka panjang untuk mengurangkan beban air boleh minum.

"Air ini adalah air bergred industri yang melalui proses teknologi penapisan ultra dan osmosis berbalik. Ia tulen, air tanpa mineral ini mampu membantu pengeluaran pihak perindustrian di Lembah Klang," katanya.

Sementara itu, CEO Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihak industri yang berminat untuk menggunakan air yang dipulih guna daripada Air Selangor boleh menghubungi pihaknya untuk membincangkan kesesuaian dan kebolehlaksanaan berdasarkan lokasi dan premis mereka.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.