Media

Peristiwa
26/6/24
Selangor

My Metro: Invest Selangor optimis tarik transaksi RM7 bilion pada SIBS 2024

Petaling Jaya: Invest Selangor Berhad optimis menarik nilai transaksi berpotensi sebanyak RM7 bilion menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 pada Julai dan Oktober ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, acara dua siri yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dijangka menarik lebih 60,000 pelawat dari 80 negara.

Katanya, SIBS yang diterajui kerajaan Selangor dan dianjurkan Invest Selangor Berhad menjadi salah satu tempat pasaran dan hab rangkaian terbesar di rantau ini untuk pempamer, pelabur dan pemimpin industri di seluruh Asia Tenggara.

"Siri pertama akan memfokuskan tema pelaburan iaitu Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) dan Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK) pada 25 hingga 27 Julai ini.

"Siri kedua yang dijadualkan 16 hingga 19 Oktober pula menampilkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan & Minuman), Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

"Kita yakin dengan kerja keras pasukan dan keadaan ekonomi semasa, kita mampu menarik sasaran potensi transaksi bernilai RM7 bilion berbanding RM6.12 bilion tahun lalu," katanya selepas majlis pelancaran SIBS 2024 di sini, hari ini.

Ng berkata, SIBS juga menampilkan speaker utama termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Untuk kali pertama SABC menampilkan speaker dari Timor-Leste untuk memperkenalkan negara itu dan peluang potensi pelaburan.

"Justeru, saya galakkan pemain industri tempatan dan antarabangsa untuk merebut peluang menyertai SIBS 2024 untuk mengemas kini dari speaker serta potensi jalinkan rangkaian dengan perwakilan persidangan antarabangsa dari China, Australia, Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah," katanya.

Dalam pada itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, buat pertama kalinya

Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2024 menyertai SIBS 2024 bagi memperluaskan potensi ekosistem halal.

"SELHAC 2024 akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama bagi memudahkan Pensijilan Halal untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mengotimumkan logistik rantaian bekalan halal serta menggunapakai inovasi digital halal.

"Kita menjangkakan SELHAC 2024, meraih lebih 60 peratus penembusan pasaran dari 150 syarikat yang dikangka menyertai sesi padanan perniagaan pada acara itu.

"Dengan penganjuran bersama SIBS 2024, SELHAC 2024 dijangka menarik lebih ramai pelabur, perniagaan dan pihak berkepentingan untuk mewujudkan rangkaian perniagaan dan kerjasama baharu," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.