My Metro: Bomba dirikan PKH di lokasi kritikal banjir Selangor
Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mendirikan tiga pusat kawalan hadapan (PKH) di lokasi kritikal berlakunya banjir, iaitu di Batu 14 dan Sungai Lui, Hulu Langat dan Taman Sri Muda di sini, sebagai langkah bagi mempercepatkan pergerakan operasi menyelamat.
Pengarahnya, Datuk Norazam Khamis berkata, inisiatif itu, dilaksanakan bagi menghadapi musim monsun timur laut pada tahun ini dan dibuat berdasarkan pengalaman banjir besar pada tahun lalu, ekoran masa yang lama diambil untuk bergerak dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi banjir, terutamanya ke Taman Sri Muda.
Beliau berkata, tempoh perjalanan ke lokasi bencana turut bertambah, apabila anggota bomba juga terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan perlu membawa aset seperti bot.
"Kita bersedia dari sekarang dengan dirikan khemah dan tempatkan anggota bomba, jentera dan bot di PKH. Jadi kita berada lebih dekat dengan lokasi contohnya di Taman Sri Muda, kita boleh tiba ke lokasi dalam lima minit berbanding tempoh masa yang boleh mencecah lebih 30 minit untuk ke lokasi dari BBP, jika jalan sesak," katanya kepada Bernama.
PKH ini beroperasi sejak bulan lepas dan beroperasi selama 24 jam dengan anggota yang bertugas bertukar silih ganti setiap 12 jam.
Ia dibuka secara sementara sehingga tamat musim monsun timur laut.
Norazam berkata, PKH itu turut dilengkapi dengan aset bomba seperti pacuan empat roda, bot dan jentera bomba bagi tujuan operasi menyelamat segera.
Selain itu katanya, bomba turut bekerjasama dengan syarikat lantikan kerajaan negeri seperti KDEB Waste Management (KDEBWM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"KDEBWM menyediakan kemudahan seperti khemah, manakala PBT seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan keperluan asas seperti bekalan air, tandas bergerak kerana kami bersiap siaga dalam tempoh lama di lokasi berkenaan.
"Jika bencana (banjir) berlaku, mereka (PBT) melalui Skuad Pantas akan terus ke PKH dan menyokong operasi kami," katanya.