Suara

Peristiwa
2/2/21
Perayaan
Selangor

My Metro: Anjur sambutan Tahun Baharu Cina secara dalam talian

Shah Alam: Kerajaan Selangor mengingatkan penganut kaum Tionghua meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada 12 dan 13 Februari depan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat agar penularan wabak Covid-19 dapat dikurangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan dan Industri Kecil & Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, walaupun vaksin dijangka pada Mac depan namun rakyat perlu patuhi SOP memandangkan laporan kes harian semakin meningkat.

"Kita masih ada 28 hari menjelang Mac, sekiranya orang ramai patuhi SOP, maka kita dapat mengurangkan penularan Covid-19.


"Kerajaan Selangor amat khuatir masih terdapat ramai yang enggan dan tidak mahu patuhi SOP berdasarkan saman yang dikeluarkan setiap hari.

"Saya juga percaya, kerajaan Persekutuan akan benarkan perhimpunan kecil dalam anggota keluarga, tapi saya harap patuhi SOP walaupun dibenarkan," katanya pada sidang media melalui Zoom Meeting bagi mengumumkan 12 program istimewa terbitan kerajaan negeri sempena Tahun Baru Cina, hari ini.

Mengenai program terbabit katanya, ia diterbitkan melalui portfolio beliau dan Invest Selangor Berhad, bertemakan 'Tahun Baru, Harapan Baru' yang akan disiarkan menerusi media dalam talian pada 12 Februari depan.

"Program Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2021 ini dijangka akan disiarkan melalui media dalam talian dan platform media sosial selama 68 minit bermula jam 9 malam.

"Penerbitan program istimewa secara virtual itu dilihat sebagai alternatif terbaik dengan norma baharu bagi masyarakat cina menikmati suasana perayaan di kediaman mereka.

"Kaedah ini dilaksanakan kerana kes Covid-19 yang masih tinggi di Selangor dan risiko penularan wabak ini yang tinggi sekiranya acara tahunan negeri ini dijalankan secara fizikal," katanya.

Chang Khim berkata, ia juga dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dalam negara yang berbilang kaum, terutamanya di seluruh negeri Selangor, memandangkan negara kini sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Disamping itu juga masyarakat Melayu, India dan lain-lain juga dapat menonton persembahan yang disediakan sepanjang program berlangsung.

"Selain 12 program istimewa itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan Exco Kerajaan Negeri akan turut menyampaikan ucapan dan mesej positif di dalam program istimewa ini kepada rakyat negeri Selangor.

"Antara program yang akan dipersembahkan adalah nyanyian, tarian dan kebudayaan yang bermutu tinggi oleh beberapa kumpulan kebudayaan terkenal seperti Teochew Puppet Documentary -Teochew Puppet & Opera, Lion Dance -Subang Hong Teck," katanya.

Beliau juga berkata, tema 'Tahun Baru, Harapan Baru' amat sesuai dengan suasana pandemik Covid-19 kerana semua orang mengharapkan dapat bebas dari kesukaran dan kerumitan sejak setahun lalu.

"Sejak setahun lalu, ramai hilang kerja, kehidupan terjejas, banyak kekecewaan berlaku.. Jadi masuk tahun baru semua ada resolusi baru dan mengharapkan sesuatu yang lebih baik akan menyusul. Tema ini amat tepat dan sesuai," katanya.

Dalam pada itu katanya, tiga individu bakal memenangi hadiah angpau wang tunai bernilai RM168 menerusi pertandingan ucapan paling kreatif.

" Bagi menarik dan menambahkan lagi keseronokan Program Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2021, 'Tahun Baru, Harapan Baru' kerajaan negeri juga melancarkan satu "Kempen Tahun Baru Cina Ucap & Menang" di laman media sosial pada 24 Januari lalu dan akan tamat pada 3 Februari ini, " katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.