Mewakili rakyat Negeri Selangor merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih
Ampun Tuanku,
Mewakili rakyat Negeri Selangor merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih setinggi-tinggi tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, bersempena Ulang Tahun Keputeraan ke-77.
Patik berdoa ke hadrat Ilahi, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah SWT.
Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi Izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan.
Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.
Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT.
Keprihatinan DYMM Tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata sentiasa menjadi inspirasi buat patik dan seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan rakyat dan kesententosaan negeri.
Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, Negara yang kita cintai mula kembali ke landasan yang lebih aman, makmur, dan stabil.
Semenjak negara mula berhadapan dengan dwi-krisis iaitu cabaran pandemik COVID-19 dan cabaran politik pasca Februari 2020, institusi dan amalan demokrasi negara berada di titik persimpangan. Keresahan dan keluhan rakyat semakin kuat.
Alhamdulillah Kerajaan Tuanku yang dipayungi pedoman serta teladan Duli Yang Maha Mulia Tuanku memperkukuhkan tekad patik bersama jemaah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan keseluruhan saf pimpinan Kerajaan Tuanku termasuklah pimpinan akar umbi menggembleng usaha untuk memulihkan keadaan serta kehidupan rakyat Negeri Selangor.
Patik turut menzahirkan kesyukuran yang mendalam kerana rakyat negeri Selangor dan Malaysia pastinya dapat menanggapi akan kepentingan nilai Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang terserlah ketika negara menghadapi cabaran samada ketika pandemik mahupun ketika usai Pillihan Raya Umum baru-baru ini.
Raja-Raja Melayu istiqamah menzahirkan hikmah dan keprihatinan mereka terhadap keresahan dan cita-cita murni rakyat Malaysia. Apabila berhadapan dengan krisis dan ketidaktentuan, dengan izin, unprecedented event, peranan inklusif yakni perpaduan serta nilai musyawarah Raja-raja Melayu dalam mencari jalan penyelesaian kepada ketidaktentuan negara haruslah diteladani, disambut dan dipelihara.
Institusi Raja-raja Melayu sekali lagi menjadi institusi yang meleraikan kebuntuan dan membuktikan bahawa institusi Raja Berperlembagaan berfungsi sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
Akhirul kalam Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan DYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.
Dirgahayu Tuanku
Daulat Tuanku


