Metro: 15,972 anggota siap sedia hadapi banjir di Selangor
SHAH ALAM: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor bersedia menggerakkan 15,972 anggota pelbagai agensi kerajaan negeri dan Pusat ke seluruh negeri bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut.
Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhamad Shah Osmin, berkata setiap anggota bersiap siaga untuk menguruskan sebarang kemungkinan sekiranya banjir besar melandan.
"Persiapan tahun ini kita laksana lebih awal dengan menyiapkan anggota. Bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat daerah seperti ketua kampung, wakil penduduk juga boleh laksana kerja-kerja pengurusan.
"Pengurusan bencana tidak seharusnya dilaksana di peringkat agensi semata-mata, tetapi perwakilan penduduk dan mangsa sendiri berperanan serta bertanggungjawab bagi memastikan insiden tahun ini dapat ditangani dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.
Katanya, sebanyak 164 bot disediakan dan ditempatkan di semua daerah bagi berhadapan banjir, tidak termasuk aset-aset lain seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda yang akan turut ditempatkan di setiap daerah.
Muhamad Shah berkata, sebanyak 796 pusat pemindahan sementara (PPS) juga sudah diwartakan dan diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang boleh menampung 151,000 mangsa banjir.
Katanya, semua PPS itu boleh diaktifkan pada bila-bila masa mengikut keperluan dan terletak di seluruh Selangor, terbahagi kepada tiga kategori, iaitu besar, sederhana dan kecil mengikut kesesuaian lokaliti serta keperluan di sesuatu kawasan.
"Kita anggarkan pusat ini dapat menampung kira-kira 151,000 mangsa banjir. Ia sedia diaktifkan jika terdapat keperluan dan sah sekiranya libatkan pemberian bantuan kepada mereka," katanya.
Program dua hari bermula hari ini membabitkan 343 peserta daripada 67 agensi, antaranya JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, simulasi itu diadakan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir, antaranya berkaitan operasi mencari dan menyelamat, pembukaan bilik gerakan dan bantuan.
"Sebanyak 12 PPS aktif, iaitu di daerah Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sepang, masing-masing diperuntuk RM20,000 untuk penambahbaikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Bagi kos penambahbaikan, NADMA memperuntuk PPS yang dikategori aktif untuk pembaikan kecil seperti baiki pintu, tandas dan sebagainya bagi memastikan keselesaan mangsa banjir," katanya.