Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor di Klang
Pagi ini saya telah memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor di Klang, dengan kehadiran penuh semua Pegawai Daerah, Datuk Bandar/Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, serta ketua-ketua Jabatan & Agensi baris hadapan yang terlibat.
Saya telah mendengar laporan terperinci khususnya pasca musibah banjir kilat yang berlaku di Klang malam tadi. Semua agensi telah melaporkan tindakan, langkah yang diambil serta persediaan proaktif untuk menghadapi segala kemungkinan.
Mesej saya jelas ; tingkatkan tahap kesiapsiagaan supaya tidak ada mangsa yang terjejas dan tidak dibantu. Operasi pasca bencana juga harus disusun pada kadar segera supaya impak bencana tidak membebankan mangsa sepenuhnya.
Alhamdulillah persediaan di semua daerah kekal berada di tahap terbaik meskipun kalangan penjawat awam ini juga bertanggungjawab menguruskan perjalanan pilihanraya di kawasan Parlimen seluruh Selangor.
Di hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita panjatkan doa moga Allah mempermudahkan urusan kita bersama serta melindungi rakyat dan Negeri Selangor Darul Ehsan.