Memulakan lawatan kerja rasmi ke Negara Jerman
Alhamdulillah hari ini saya telah memulakan lawatan kerja rasmi saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Selangor ke Negara Jerman.
Sudah menjadi lumrah dan kemestian apabila saya ke luar negara untuk lawatan kerja rasmi, saya akan bertemu warga dan komuniti rakyat Malaysia khususnya anak Selangor di luar negara.
Kali ini saya mengadakan sesi pertemuan dengan rakyat Malaysia di Munich. Pertemuan lebih 2 jam ini memberi ruang kepada kami berbincang dan bertukar-tukar pendapat serta mendengar pandangan dari mereka di Munich.
Komuniti Malaysia di Munich terdiri dari komuniti perniagaan dan para mahasiswa serta mahasiswi yang melanjutkan pelajaran di sini.
Di dalam sesi pertemuan serta soal jawab, saya turut mengulas usaha Kerajaan Negeri Selangor menerusi Rancangan Selangor Pertama untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan negeri.
Saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir terutama pihak MIDA Munich yang membantu menyelaras pertemuan yang bermakna ini.
Insya-Allah saya akan meneruskan lawatan ke Cologne bagi menyaksikan program menandatangani MOU bersejarah buat Kerajaan Negeri Selangor serta ke Hannover bagi menghadiri jemputan khas sebagai panelis di acara istimewa Hannover Messe 2024.
Salam Aidilfitri dari Munich, Jerman.