Suara

Pendapat
2/4/21
Isu
Negara

Malaysia Kini: Kritik k'jaan kini jadi kesalahan menakutkan, kata MB Selangor

Malaysia sedang menuju ke arah kegelapan apabila mengkritik kerajaan kini menjadi satu kesalahan, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Amirudin berkata, selain parlimen dihalang bersidang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga menguatkuasakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No 2) 2021 bagi mengekang kebebasan bersuara.

Dia berkata demikian ketika majlis 'Temu Anwar' di sebuah hotel di Ampang semalam yang menyaksikan penyertaan penyanyi rap terkenal, Altimet dan pengarah Afdlin Shauki ke dalam PKR.

"Sekarang di Malaysia mengkritik kerajaan menjadi satu kesalahan dan perkara yang menakutkan.

"Ia juga berbeza ketika zaman PH memerintah negara, yang mana kita menolak Akta Antiberita Tidak Benar kerana beranggapan ia akan menghalang kebebasan bersuara dan mungkin akan disalahgunakan serta mengandungi unsur menekan dan membenam kebebasan bersuara.

“Namun, sekarang atas alasan mengawal berita tidak benar mengenai penularan penyakit (Covid-19), (atas alasan) ingin selamatkan negara dan ingin bebaskan negara daripada wabak, mereka (kerajaan PN) gubal balik undang-undang drakonian yang menekan dan tidak mahu kebebasan bersuara dibuka.

“Jadi saya percaya nada dan watak yang ada dalam negara kita hari ini menuju kegelapan yang harus kita lawan dan terangkan semula. Kita kena ajak dan raikan pandangan semua pihak,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 bagi mengekang berita palsu, sekali gus dilihat memberi kuasa besar kepada kerajaan terhadap berita yang disifatkan tidak benar.

Ordinan itu turut memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali. Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata pengkarya, artis dan budayawan harus menyampaikan suara hati mereka dalam apa wadah sekali pun.

“Justeru, malam ini saya rasa sangat gembira dalam ramai-ramai artis yang ada dalam negara kita, dalam bersama dengan budayawan, saya tahu ada yang simpatinya dengan kita tapi belum ada yang berani mungkin, belum ada kekuatan mungkin, tetapi malam ini saudara Afdlin dan kawannya Altimet bersama-sama kita.

“Ini menunjukkan kita masih ada harapan dan peluang, kita masih mampu kedepan membetulkan negara kita, mencerahkan negara kita yang telah dilanda kegelapan, yang dibimbangkan dengan segala benda dengan hujah-hujah parti pemerintah kerajaan pusat,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah presiden PKR, Anwar Ibahim.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.