Majlis Amanat Tahun Baharu
Saya bersama-sama dengan penjawat-penjawat awam Negeri Selangor, ketua-ketua jabatan dan wakil anak-anak syarikat kerajaan negeri dalam Majlis Amanat Tahun Baharu di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor semalam. Majlis ini turut dipancarkan secara langsung di pejabat-pejabat kerajaan negeri di peringkat akar umbi.
Dalam amanat, saya mengingatkan penjawat awam bahawa tahun 2024 merupakan tahun dimana kita harus proaktif dan responsif. Di era digitalisasi ini, penjawat awam Selangor harus bersedia respon dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.
Selain itu, saya turut sentuh tanggungjawab kita semua untuk menjaga fabrik dan keharmonian Negeri Selangor. Inilah negeri yang rencam, unik dan menjadi payung buat rakyat pelbagai kaum, agama dan bangsa untuk berteduh dan mencari rezeki. Perpaduan dan keharmonian di Selangor adalah kesatuan dan kekuatan negeri ini sehingga menjadi negeri utama di Malaysia.
Dalam majlis ini juga saya menyampaikan penghargaan dan anugerah kepada Pihak Berkuasa Tempatan, jabatan kerajaan dan Pejabat Daerah dan Tanah yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam inovasi dan kutipan hasil.
Saya berharap semua penjawat awam bersedia untuk melayari tahun 2024 untuk meneruskan kecemerlangan dan Insya-Allah, dengan kemampuan yang kita ada, kejayaan dan kecemerlangan ini dapat diteruskan dan ditingkatkan.