Kosmo: Golongan bujang mampu miliki rumah di Selangor
KUALA LUMPUR – Golongan bujang dijangka mampu memiliki sekurang-kurangnya seunit rumah di kawasan bandar melalui dasar rumah mampu milik di bawah program Rumah Selangorku 3.0.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Rodziah Ismail berkata, kerajaan negeri memperkenalkan rumah satu bilik dengan keluasan 450 kaki persegi pada harga RM114,750 bagi memenuhi permintaan golongan belia di bawah 30 tahun yang bujang dan masih baru bekerja di kawasan pusat bandar.
Katanya, kerajaan negeri turut menawarkan rumah bagi golongan berkahwin iaitu dua, tiga dan empat bilik dengan keluasan rumah 600 kaki persegi hingga 900 kaki persegi pada harga jualan bermula RM153,000 hingga RM250,000.
“Melalui penambahbaikan dasar Rumah Selangorku 3.0 dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti zon pembangunan, komponen pembangunan, spesifiaksi, kawalan pembangunan dan penguatkuasaan dan sebagainya.
“Penyediaan rumah satu bilik dan dua bilik ini telah dilaksanakan di negara maju di mana ianya realistik untuk dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi.
“Oleh yang demikian, dasar Rumah Selangorku 3.0 ini mensyaratkan penyediaan rumah jenis tersebut dibangunkan dikawasan pembanguan berorientasikan transit (TOD), pembangunan bersebelahan transit (TAD), kawasan pusat perniagaan (CBD) dan di kawasan Majlis Bandaraya di negeri ini,” katanya.