Inisiatif

Peristiwa
10/7/24
Selangor

Kosmo: DUN Selangor : RM5 juta uruskan parit tidak bertuan lebih 300 km

SHAH ALAM – Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pengurusan longkang dan parit tidak bertuan di negeri ini bagi mengelakkan masalah banjir.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, pelaksanaan tersebut melibatkan keseluruhan lebih 300 kilometer (km) dengan pembahagian peruntukkan bagi dua fasa masing-masing adalah sebanyak RM2.5 juta.

Katanya, isu parit tidak bertuan ini disebabkan isu teknikal sejak sekian lama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPS.

“Saya hendak beritahu hakikat dan bukannya alasan. Di bawah JKR, kalau longkang jalan yang lebarnya melebihi 1.2 meter, mereka tidak uruskan. Itu luar skop mereka.

“Jadi, JPS diminta buat namun JPS memaklumkan ini bukan parit mereka. Ini bukan sahaja berlaku di Selangor malah di seluruh negara,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rosnizan Ahmad (PN-Morib) berhubung ketetapan penyelenggaran parit-parit yang tidak bertuan.

Izham yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memaklumkan bagi fasa pertama adalah sejauh 162 km dengan melibatkan parit dan longkang telah dikenalpasti JPS.

Ujar beliau, fasa kedua pula adalah yang telah dikenalpasti JKR, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah dan tanah.

“Semuanya akan dijalankan secara berfasa dan disiapkan sebelum menjelang Monsun Timur Laut pada Oktober nanti.

“Seterusnya, kita akan menyiapkan kertas dasar agar parit dan longkang tidak bertuan ini akan diserahkan kepada siapa. Ini supaya semuanya bertuan dan (kertas dasar) disiapkan tahun ini agar bajet disediakan tahun depan supaya diuruskan secara berkala,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.