Inisiatif

Peristiwa
5/10/23

Kembali ke Universiti Putra Malaysia (UPM)

Alhamdulillah saya diberikan kesempatan untuk kembali ke Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam sebagai salah seorang alumni UPM untuk bersama-sama dengan lebih 3,500 mahasiswa/siswi baharu UPM sesi akademik 2023/2024.

Bermula dengan Kolej Pertanian, UPM telah melahirkan begitu ramai alumni yang berjaya dipelbagai bidang kerjaya dan juga teknokrat-teknokrat yang membangunkan negeri dan negara kita. Dianggarkan UPM sendiri, bermula dengan Kolej Pertanian telah melahirkan lebih 300,000 alumni.

Keazaman dan semangat membara mahasiswa dan mahasiswi ini dapat saya rasai dan saya sulami dengan beberapa pesanan antaranya agar mahasiswa dan mahasiswi ini memahami sejarah diri, komuniti dan negara kerana ia merupakan aspek penting untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Saya turut berpesan kepada anak-anak muda bakal pemimpin negara ini akan pentingnya asas ilmu itu yang akan menjadi panduan kepada kita untuk membuat keputusan dalam hidup. Saya berkongsi beberapa pengalaman dan cabaran yang telah saya lalui ketika menjadi pemimpin seperti pandemik Covid-19 yang melanda, banjir di Selangor pada 2021 dan 2022, dan bagaimana Negeri Selangor berjaya meletakkan keutamaan dan mengenalpasti masalah untuk mengatasi semua cabaran ini.

Justeru, saya berharap mereka bersedia menghadapi dunia yang baharu di universiti. Tahu dan fahami tujuan keberadaan mereka di universiti, tetapkan keutamaan dalam garis hidup dan hidup dalam harmoni agar dapat menjalani kehidupan lebih baik serta melangkah jauh setelah tamat pengajian nanti. Insya-Allah.

Saya amat berbangga menjadi alumni UPM, tempat jatuh bangun dan yang telah mendidik saya sehingga ke hari ini. Malah Canselor UPM sendiri adalah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor. DYMM Sultan Selangor sentisa cakna dan prihatin akan nasib anak bangsa dalam bidang pendidikan terutamanya di UPM.

Semoga para anak siswa dan siswi dipermudahkan urusan untuk mencapai kejayaan di menara gading, Insya-Allah.

#KitaSelangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.