Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat
PERBAHASAN AHLI PARLIMEN GOMBAK
Alhamdulillah pagi tadi saya berbahasa berkaitan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.
Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah atas gandingan usaha YAB Perdana Menteri serta YB Menteri Ekonomi yang menjayakan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keduabelas yang dibentangkan oleh Perdana Menteri. Sekalung penghargaan turut dirakam kepada semua penjawat awam yang terlibat.
Perdana Menteri membentangkan KSP RMK-12 5 hari sebelum Malaysia menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan sebuah negara yang menggabungkan kekuatan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Memasuki dekad ketujuh negara kita Malaysia, beberapa kejadian dan kedudukan dunia melatari minggu ini.
Pertama, keadaan geopolitik yang semakin tidak menentu dan mengancam keselamatan negara. Baru-baru ini, kita melihat bagaimana kuasa besar dapat mengubah peta Laut Cina Selatan. Ketegangan antara Amerika Syarikat dan China sudah pasti mendorong tindakan ini. Fokusnya mungkin bukan Malaysia tetapi Malaysia menerima kesan.
Jadi, kita tidak boleh bersikap ‘ignorant’ bahawa keselamatan negara terancam, dan sebarang ancaman ketidakstabilan politik akan mengeruhkan keadaan, kedudukan dan keselamatan negara.
Kedua, keadaan ekonomi yang masih dilihat belum pulih sepenuhnya oleh sebahagian rakyat yang menimbulkan keresahan.
Keresahan ini kemudian dimanipulasi oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab bagi memenuhi nafsu mereka yang ketagih dengan kuasa sehingga mereka berzikir dari siang sehingga malam untuk menukar Perdana Menteri.
Ketiga, ancaman jenayah siber. Ketika memasuki awal abad ke-21, antara jenayah yang dilihat agak kritikal adalah jenayah fizikal yang mengancam keselamatan rakyat. Kes ragut dan pecah masuk rumah terutamanya di kawasan bandar dilihat agak tinggi.
Namun, kini ancaman besar adalah jenayah siber khusus berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel.
Saya juga mencadangkan supaya sistem perundangan negara diperkukuhkan khusus kepada kuasa Peguam Negara serta peranan pendakwaan.
Malah, proses melibatkan penjelasan Peguam Negara kepada Jawatankuasa Khas seharusnya dibuat secara siaran langsung supaya rakyat dapat terlibat dalam proses ini, bukan hanya Ahli Parlimen.
Selain itu, selaku Menteri Besar Negeri Selangor, saya terpanggil untuk memberi pendapat merujuk kepada semangat dan prinsip federalisme yang lebih saksama.
Asas pembinaan negara kita Malaysia yang akan kita sambut ulang tahun ke-60 adalah persekutuan, a federation of states.
Secara khususnya, sudah tiba masanya untuk peranan negeri dan Kerajaan Tempatan diperkasakan misalnya dalam aspek pengangkutan awam, perkhidmatan sosial, kesihatan awam, pengagihan sebahagian cukai pendapatan serta cukai jalan sebagai aliran pendapatan baharu agar negeri-negeri tidak terpaksa bergantung kepada hanya perolehan tanah.
Dan saya bercakap bukan sahaja sebagai seorang yang diamanahkan sebagai Menteri Besar Kerajaan Perpaduan tetapi pandangan ini merentas fahaman mahupun perbedaan politik.
Yang terakhir, KSP RMK-12 adalah peluang untuk melaksanakan reformasi terhadap proses pembangunan rancangan ekonomi seumpama RMK.
Dengan berkongsikan pengalaman apabila negeri Selangor membangunkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelan ini dibentuk dengan menggabungkan usaha suntikan kerajaan serta pendanaan swasta kerana kerajaan tidak boleh bekerja secara berasingan.
Melalui perkongsian ini, saya berharap idea-idea yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dapat dijayakan supaya kualiti hidup rakyat dapat terus ditingkatkan.