Inisiatif

Peristiwa
13/3/23

Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2023

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin telah berkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2023.

Menjunjung titah DYMM Tuanku yang menyentuh  prestasi kewangan semasa Kerajaan Negeri di mana tahun 2022 adalah tahun yang cemerlang bagi Negeri Selangor apabila mencatat jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh enam (6) tahun dan turut mencatatkan sumbangan terbesar kepada KDNK Malaysia, iaitu dua puluh empat perpuluhan lapan peratus (24.8%).

DYMM Tuanku turut menzahirkan rasa sukacita apabila pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2021 mencatat angka lima perpuluhan kosong peratus (5.0%) mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional pada tiga perpuluhan satu peratus (3.1%)

DYMM Tuanku turut telah bertitah dan mengingatkan MAIS serta JAIS agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam. Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah di kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya. lni berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

DYMM Tuanku menzahirkan kebimbangan budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecah belahkan umat Islam khususnya orang Melayu. Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, Tuanku telah menitahkan bahawa hanya mereka yang berkelayakan dan mempunyai tauliah dari Jawatankuasa tauliah MAIS sahaja yang dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di negeri Selangor  ini.

Patik dan sekalian Ahli Dewan Negeri menjunjung kasih titah DYMM Tuanku agar sidang dewan ini dilaksanakan dengan berhemah dan tenteram serta memfokuskan usaha agar dapat membahaskan dasar serta kebijakan yang bermanfaat buat rakyat Negeri Selangor.

Menjunjung kasih DYMM Tuanku.

#KitaSelangor

#DewanNegeriSelangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.