Inisiatif

Peristiwa
29/11/23
Isu
Selangor

Harian Metro: Sultan Selangor isytihar Hutan Warisan Diraja Selangor seluas 108,000 hektar

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mencemar duli mengisytihar Hutan Warisan Diraja Selangor yang merangkumi kira-kira 26 hutan simpan kekal di sepanjang jajaran Central Forest Spine (CFS) dari Hulu Langat hingga Hulu Selangor.

Pada pengisytiharan yang diadakan di sebuah hotel di sini, baginda diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut serta Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Salim Soib, Pegawai Kewangan Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang.

Dalam majlis sama, baginda berkenan menyaksikan tayangan montaj Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Ulu Selangor dan melancarkan buku 'Pelan Induk Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor'.

Amirudin dalam ucapannya berkata, Hutan Warisan Diraja Selangor berkeluasan 108,000 hektar adalah Hutan Taman Negeri di bawah salah satu daripada pengelasan hutan perlindungan mengikut Seksyen 10, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Katanya, satu komitmen yang kolektif diperlukan dalam merealisasikan titah Sultan Selangor untuk menjadikan suatu kawasan hutan yang mencakupi aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, rekreasi dan eko-pelancongan.

"Dalam konteks ini, kerajaan negeri sentiasa konsisten untuk memelihara dan melindungi khazanah hutan supaya dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan air, habitat flora dan fauna, kawalan hakisan dan banjir selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta menangani isu perubahan iklim.

"Sehingga kini, keseluruhan kawasan hutan simpanan kekal di negeri Selangor adalah seluas 250,739.33 hektar iaitu 31.7 peratus daripada keluasan tanah negeri dan keluasan hutan simpanan kekal ini didapati semakin meningkat berbanding hanya 30.55 peratus pada tahun 2008," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Selangor juga giat memperkasakan usaha pemeliharaan dan kelestarian hutan dan alam sekitar selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi memastikan negeri ini sebagai negeri yang tahan uji, rakyatnya sentiasa dilindungi dan alam sekitar terpelihara.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.