Harian Metro: Selangor teliti kaedah kawal penglibatan warga asing dalam perniagaan
Shah Alam: Kerajaan Selangor akan meneliti kaedah terbaik untuk mengawal penglibatan warga asing dalam sektor perniagaan termasuk penyediaan makanan di gerai penjaja di negeri ini.
Ringkasan Berita
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata, ia termasuk kaedah yang digunakan Pulau Pinang yang melarang warga asing untuk bekerja sebagai tukang masak di gerai penjaja.
Katanya, tindakan Pulau Pinang itu bagus dalam memastikan kualiti perkhidmatan serta makanan itu terjaga.
"Di Selangor, berikutan penduduk yang ramai iaitu lebih 7 juta, jika kita laksanakan, ramai pengusaha akan protes.
"Bagaimanapun, perkara yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang akan kita teliti dan rujuk semula dengan Pulau Pinang berkenaan bagaimana pelaksanaan mereka.
"Kalau sesuai kita akan cuba lakukan di Selangor," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) yang mencadangkan Selangor mengikut langkah Pulau Pinang yang melarang warga asing bekerja sebagai tukang masak utama di gerai penjaja mulai 1 Jan 2016.