Media

Peristiwa
7/2/23
Isu
Selangor
Negara

Harian Metro: Projek ECRL di Selangor tidak babit penyahwartaan hutan simpan

Putrajaya: Pembukaan tanah untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor tidak membabitkan penyahwartaan hutan simpan termasuk kawasan di Taman Negeri Selangor.

Sebaliknya, pemilik projek berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), berkata, ia sudah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk permit izin lalu (right-of-way permit) untuk memudahkan kerja awal pembinaan ECRL.

MRL dalam satu kenyataan berkata, permit itu membolehkan kontraktor yang terbabit dalam projek berkenaan memasuki kawasan hutan simpan bagi menjalankan aktiviti berlesen berkaitan ECRL.

"Bagi memelihara alam sekitar, projek ECRL sudah mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP) yang masing-masing dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Kenyataan itu menyebut, ia mengambil maklum kebimbangan disuarakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pembukaan tanah untuk projek ECRL di Selangor.

Katanya, sebagai pemilik projek dengan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC- ECRL) yang menjadi kontraktor utama, ia sentiasa komited dalam memenuhi semua keperluan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri untuk memelihara alam sekitar dan menjaga kepentingan orang awam.

MRL berkata, pihaknya sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan di semua peringkat membabitkan projek yang berjalan di Selangor, termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), JAS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Kerja-kerja pembinaan ECRL untuk Seksyen C2 ECRL (bagi jajaran Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang yang secara keseluruhannya terletak di Selangor, dijalankan dengan teliti bawah rundingan bersama komuniti tempatan dan pihak berkepentingan yang berkenaan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Kenyataan itu menyebut, kelulusan Skim Kereta Api ECRL bagi Seksyen C2 diberikan oleh Kementerian Pengangkutan kepada MRL pada 14 Januari 2022 selepas Pemeriksaan Awam selama tiga bulan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya, laporan EIA yang diwajibkan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sudah diserah kepada JAS pada 30 November 2021 dan mendapat kelulusan pada 20 Disember 2021.

"Pada 14 September 2022, kami mendapat kelulusan daripada Kerajaan Selangor untuk meneruskan pembinaan projek ECRL bagi jajaran rel Seksyen C2 di Selangor," katanya.

MRL berkata, pihaknya serta CCC-ECRL turut mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan mesyuarat dan sesi libat urus bersama-sama pihak berkuasa Selangor dan semua pihak berkepentingan projek ECRL.

Katanya, sesi berkenaan turut membabitkan penduduk yang tinggal berhampiran tapak kerja ECRL, bertujuan memastikan suara daripada pihak yang terjejas dan pendapat orang awam dipertimbangkan sepenuhnya bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan impak sosial.

"Sehubungan itu, MRL dan CCC-ECRL mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan berkenaan projek ECRL serta terbuka untuk mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak jika perlu.

"Sebarang cadangan boleh diajukan ke alamat emel feedback@mrl.com.my," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.