Media

Peristiwa
4/1/24
Selangor

Harian Metro: Piala Sultan Selangor gamit memori di Stadium Merdeka

Kuala Lumpur: Buat julung kalinya Stadium Merdeka dipilih sebagai venue Piala Sultan Selangor bertujuan mengamit memori peminat selepas empat tahun kejohanan itu tertangguh susulan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, keadaan Stadium Merdeka itu akan dikekalkan dalam bentuk asal kerana ia sangat memberi makna buat pemain serta peminat di Malaysia dari sejarah di stadium itu sendiri sehingga melahirkan pemain terbaik di negara ini.

"Kerja-kerja membaikpulih Stadium Merdeka dalam bentuk asal iaitu seperti 1957 apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaung merdeka. Jadi tahun ini Piala Sultan Selangor 2024 amat bermakna bagi saya, sangat nostalgia sebab Stadium Merdeka ini di bawa kembali ke bentuk awal.

"Di sini lahir legenda pemain bola sepak Selangor dan ia memang kembalikan sejarah kerana di sini mereka beraksi seperti Allaharyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang R Arumugam, Datuk Santokh Singh, dan Datuk Soh Chin Aun telah membantu pasukan kebangsaan sehingga kita berjaya layak ke peringkat Sukan Olimpik k 1972 dan 1980," katanya ketika meninjau kerja-kerja membaikpulih Stadium Merdeka hari ini.

Tambahnya, tujuan utama kejohanan itu adalah untuk mengamit nostalgia dua musuh tradisi Selangor dan Singapura yang sering bersaing dalam pusingan akhir Piala Malaysia di Stadium Merdeka.

"Kejohanan Piala Sultan Selangor amat diminati dan di tunggu oleh peminat bola sepak kerana selain menyegarkan sejarah bertemuan hebat Selangor dan Singapura serta menyaksikan legenda kedua-dua pasukan beraksi, ia juga satu acara karnival di mana mereka dapat berhibur dengan penyanyi terkenal tempatan dan juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah," katanya.

Piala Sultan Selangor edisi ke-20 yang akan diadakan pada 17 Ogos depan menyasarkan kehadiran 20,000 penyokong dengan harga jualan tiket serendah RM10.

Untuk rekod, Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Pilihan Singapura pula pernah meraih gelaran sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017 dan kedua-dua turut berkongsi kejuaraan pada 2015 memandangkan perlawanan terpaksa dibatalkan susulan jerebu.

Kali terakhir ia adakan pada tahun 2019 menyaksikan Pilihan Selangor mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Selangor dengan mengalahkan Pilihan Singapura 1-0.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.