Media

Peristiwa
2/7/24
Selangor
Negara

Harian Metro: Laluan jalan Batang Kali-Genting Highlands dibuka semula

Hulu Selangor: Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands berhampiran kawasan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember 2022, dibaiki dengan menggunakan reka bentuk 'TerraLink Wall System'.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, pembaikan cerun di laluan itu menelan belanja kira-kira RM 19 juta.

"Kita bersetuju dengan cadangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk menggunakan 'TerraLink Wall system' kerana ia tidak banyak dipakai.

"Sistem ini digunakan selepas mengambil kira lokasi yang agak kompak dan 'construction space' tidak luas," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 'flag off' pembukaan semula laluan kepada pengguna jalan raya, di sini.

Semalam, media melaporkan Jalan Batang Kali-Genting Highlands akan dibuka kepada semua pengguna jalan raya mulai jam 3 petang hari ini.

Pada masa sama, Izham menjelaskan pembukaan itu akan memberi faedah kepada orang awam berbanding dua tahun sebelumnya.

"Sebelum ini, laluan alternatif ini ditutup dan hanya dibuka satu laluan sahaja untuk pekerja-pekerja di Genting Highlands yang menetap di Batang Kali.

"Saya harap ia memberi manfaat dan keselesaan kepada pengguna," katanya.

Untuk rekod, tragedi 16 Disember 2022, pada kira-kira 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali.

Sementara itu, tiga jam selepas dibuka secara rasmi, lalun itu menyaksikan puluhan kenderaan melaluinya.

Tinjauan mendapati kenderaan seperti kereta dan bas persiaran menggunakan laluan itu untuk pergi ke kawasan pelancongan tanah tinggi, Genting Highlands.

Seorang pengguna, Mohd Helmi Rasmi, 42, berkata dia yang menetap di Batang Kali bersyukur jalan yang ditutup pada Disember 2022 itu dibuka semula.

"Saya kerja sebagai pemandu di atas (Genting Highlands) sana dan selalu berulang-alik menggunakan laluan ini.

"Syukurlah situasi bertambah baik berbanding tahun sebelumnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi pelancong yang mahu dikenali sebagai Isabella, selepas tragedi tanah runtuh pada Disember 2022 dia menggunakan laluan lain untuk pergi ke Genting Highlands.

"Senang sikit apabila jalan ini dibuka semula kepada semua pemandu," katanya yang menetap di Pulau Pinang.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.