Suara

Peristiwa
22/5/23
Selangor

Harian Metro: 'KSSA tetap diteruskan, ia hasrat penyokong bola sepak, Sultan Selangor'

Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) tetap diteruskan walau apa yang terjadi susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Ia berikutan, pembangunan itu bukan hasrat peribadi beliau sebaliknya ia hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan penyokong bola sepak Selangor.

"Pembinaan KSSA sebelum dan selepas PRN bukan persoalannya. Kita akan ikut prosedur dan tidak tergesa-gesa supaya tidak ada pertikaian.

"Apa-apa yang terjadi ia (pembangunan) akan diteruskan kerana ia bukan hasrat saya tapi hasrat penyokong (bola sepak) Negeri Selangor, tidak ketinggalan Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor.

"Justeru, saya berharap projek ini dapat dijalankan seperti amanah yang telah ditetapkan," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Semarakkan Syawal 2023 MBI Selangor di sini, hari ini.

Beliau mengulas sama ada projek KSSA akan dilaksanakan sebelum atau selepas PRN.

Mengulas lanjut perkembangan projek berkenaan, Amirudin berkata, pihaknya kini masih berbincang mengenai isu pertukaran tanah.

"Ia belum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Sedang dalam perbincangan akhir termasuk perjanjian, isu pertukaran tanah sebelum kita memohon untuk pembinaan dan sebagainya.

"Saya harap kita dapat mempercepatkan (proses perjanjian dan pertukaran tanah) dan projek ini dapat dilaksanakan segera," katanya.

Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke-enam Dewan Negeri Selangor yang ke-14 pada Mac lalu, Sultan Selangor bertitah berharap proses pembinaan KSSA dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat Selangor.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.