Harian Metro: Air Selangor bantu pelajar B40 akses pendidikan digital
Kuala Lumpur: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara menjalin kerjasama dengan Pandai Education Sdn Bhd (Pandai) untuk membantu pelajar golongan B40 mendapat akses kepada bahan pendidikan digital bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Inisiatif ini lanjutan daripada usaha 'Memperkasakan Pembelajaran Dalam Talian' yang diperkenalkan pada 2020 bagi membantu anak-anak golongan berpendapatan B40 meneruskan pembelajaran mereka dalam situasi pandemik Covid-19.
Kerjasama kali ini bertujuan menyediakan kursus pendidikan interaktif, mampan dan lestari, menerusi aplikasi Pandai Premium, bagi membolehkan pelajar SPM golongan B40 , kekal cemerlang dan terus diberikan perhatian dalam menerima pembelajaran berkualiti.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah berkata, pihaknya berharap menerusi bantuan pembelajaran aplikasi Pandai Premium ini, pembelajaran menjadi lebih menarik dan memberikan pelajar semangat untuk belajar dan lebih bersedia menghadapi SPM.
"Kerjasama dengan Pandai adalah satu langkah penting dalam memperkasakan pembelajaran dalam talian bagi pelajar SPM daripada golongan B40.
"Kami berharap melalui akses kepada aplikasi Pandai Premium, mereka dapat memperoleh manfaat yang besar dalam meningkatkan pencapaian akademik," katanya dalam kenyataan.