Media

Peristiwa
29/7/24
Selangor

FMT: 50 kes cemar sumber air dikesan di Selangor, kata exco

PETALING JAYA: Kira-kira 50 kes pencemaran sumber air dikesan di Selangor sepanjang tahun ini, tetapi sebahagian besarnya tidak menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA), kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin.

Katanya, siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 79(1) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta penjara mandatori tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Oleh itu, saya perlu dapatkan maklumat daripada agensi berkaitan, sama ada kes ini disiasat mengikut enakmen tersebut atau sebaliknya, meskipun kes terbabit tidak menyebabkan gangguan bekalan air,

katanya menurut Sinar Harian pada Majlis Perasmian Karnival Santai, Sihat dan Sejahtera di Pengkalan Sabak, Sabak Bernam.

Beliau berkata, pelaksanaan enakmen dengan hukuman lebih berat itu berjaya mengurangkan kes pencemaran sumber air berbanding tahun sebelumnya.

Kes pencemaran air sememangnya berlaku, cuma tidak diuar-uarkan kepada orang awam. Sebaliknya, pihak terlibat seperti JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) mengoptimumkan langkah kawalan serta pencegahan 24 jam bagi menangani kes ini.

Mengenai pencemaran bau membabitkan sebuah kilang pemprosesan plastik di Kuang yang menyebabkan LRA dihenti tugas awal minggu ini, Jamaliah berkata, agensi terbabit baru selesai menjalankan siasatan di tapak kejadian.

Katanya, setiap agensi akan berbincang secara dalaman sama ada pesalah boleh didakwa atau disiasat mengikut enakmen agensi masing-masing.

Pada minggu depan juga, kita akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan bagi mengetahui perkembangan terkini kes tersebut.

Pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah menyebabkan henti tugas empat LRA dan ratusan kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor berdepan gangguan bekalan air Selasa lalu.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.