BH: Selangor sasar kekal jadi penyumbang terbesar pelaburan
KUALA LUMPUR: Selangor menyasarkan untuk mengekalkan prestasinya sebagai penyumbang pelaburan terbesar di negara ini melalui penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBC 2024).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata negeri itu berada di tempat ketiga dengan pelaburan sebanyak RM12 bilion pada suku pertama tahun ini, selepas berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan meraih pelaburan RM55 bilion untuk setahun penuh 2023.
"Jadi sasaran kali ini adalah untuk mengekalkan jumlah pelaburan yang besar dan mewujudkan peluang ekonomi yang ketara untuk rakyat," katanya ketika merasmikan SIBC ke-8 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelaburan , Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan MITI serta kementerian lain dalam program yang akan membawa manfaat ekonomi kepada Selangor.
"Dengan Malaysia bakal menjadi pengerusi ASEAN pada 2025, Selangor bersedia untuk menyokong dan melengkapkan kerajaan persekutuan dan MITI dalam setiap cara yang mungkin," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, beliau berkata negara-negara ASEAN perlu membina kepercayaan dan komitmen melalui perkongsian matlamat teknologi untuk mengukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN.
"ASEAN tidak sepatutnya lagi menjadi rantau di mana pemain besar memindahkan hab pembuatan mereka untuk mengurangkan kos, tetapi menjadi peneraju dalam inovasi dan mencipta teknologi kita sendiri untuk menyelesaikan cabaran besar masa kini," katanya.